Bale, Rodriguez bantu kemenangan sulung Real

Bale, Rodriguez bantu kemenangan sulung Real

MADRID, 30 Ogos (AFP) – Gareth Bale menamatkan kritikan terhadapnya apabila meledak dua gol bagi membantu kemenangan 5-0 Real Madrid membenam Real Betis pada saingan La Liga Sepanyol, semalam.

Ia juga saat manis buat Rafael Benitez yang memperoleh kemenangan pertamanya sebagai jurulatih baharu Real.

Madrid kekal dua mata di belakang pendahulu liga, Barcelona selepas Thomas Vermaelen meledak gol sulung untuk menewaskan Malaga 1-0 di Camp Nou.

Benitez yang dimalukan minggu lalu apabila seri 0-0 kepada Sporting Gijon, kelab yang baharu dinaikkan status ke La Liga, meraikan jaringan besar dengan Bale mendapat gol pembukaan seawal minit ke-2 menerusi sepakan sudut James Rodriguez.

Bale dan Rodriguez (kiri) meraikan jaringan selepas berjaya merobek gawang Real Betis semalam. – Reuters
Bale dan Rodriguez (kiri) meraikan jaringan selepas berjaya merobek gawang Real Betis semalam. – Reuters

Rodriguez kemudian merembat masuk sepakan percuma dari sudut sempit untuk memastikan Real mendahului 2-0 selepas tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, Karim Benzema meletakkan Real terus selesa di depan apabila bola tandukannya menembusi gawang lawan pada minit ke-47, diikuti tiga minit kemudian giliran Rodriguez sekali lagi memperoleh gol keduanya.

Bale kembali untuk gol keduanya pada minit ke-88 untuk mengukuhkan kedudukan Real.