Bale termahal dunia?

Bale termahal dunia?

MADRID, 22 Jan (AFP) – Bintang sensasi Wales, Gareth Bale, dilaporkan menyertai Real Madrid pada 2013 dengan rekod perpindahan termahal dunia iaitu 100 juta euro, dedah sebuah laman web.

Semalam, laman web itu, Football Leaks, yang sering membocorkan berita panas bola sepak, memaparkan salinan perjanjian antara Real dan Tottenham Hotspur.

Perjanjian itu membolehkan Real mempunyai pilihan untuk membuat pembayaran sejumlah 91,589,842 euro secara sekali gus dalam tempoh 15 hari jendela perpindahan atau 99,743,542 euro secara ansuran empat kali bagi tempoh tiga tahun.

Real turut bersetuju membuat pembayaran tambahan 1,015,875 euro dan melupuskan segala hutang tertunggak membabitkan perpindahan perancang tengah Belanda, Rafael Van der Vaart ke Tottenham daripada kelab gergasi Sepanyol itu pada 2013.

Gareth Bale dikhabarkan pemain termahal dunia menurut pendedahan laman web Footbal Leaks. – Reuters
Gareth Bale dikhabarkan pemain termahal dunia menurut pendedahan laman web Footbal Leaks. – Reuters

Beberapa media Sepanyol melaporkan, Real memilih untuk menggunakan pendekatan membuat pembayaran ansuran empat kali. Namun, Real enggan memberi komen apabila dihubungi oleh AFP.

Bagaimanapun, ejen Bale, Jonathan Barnett, meminta supaya siasatan segera dijalankan bagi mencari dalang yang membocorkan maklumat dalam dokumen terbabit.

“Seharusnya siasatan bebas dijalankan kerana ia satu tindakan keterlaluan,” katanya kepada Telegraph.

Real sebelum ini sekian lama mempertahankan kenyataannya bahawa Bale hanya bernilai 91 juta euro.

Jika benar pendedahan ini, ia bermakna Bale adalah pemain termahal dunia, mengatasi rakan sepasukannya Cristiano Ronaldo, yang berpindah dari Manchester United dengan yuran perpindahan bernilai 94 juta euro pada 2009.

ARTIKEL YANG SAMA