Bale tidak sabar akhiri derita Wales

Bale tidak sabar akhiri derita Wales

LONDON, 8 Okt (AFP) – Bintang Real Madrid, Gareth Bale akan mengetuai Wales bertemu Bosnia dalam perlawanan kelayakan Euro 2016 di laman lawan, awal pagi Ahad ini dengan sasaran menamatkan kemarau 57 tahun layak ke kejohanan besar.

Wales ketika ini sedang memimpin Kumpulan B kelayakan selepas mengumpul 18 mata dan hanya memerlukan satu mata daripada dua perlawanan terakhir untuk layak. Lawan terakhir Wales adalah bertemu Andorra, awal pagi Rabu di Cardiff.

Dengan Piala Dunia 1958 menjadi satu-satunya kejohanan besar yang menampilkan Wales sebelum ini, Bale yang dinamakan pemain terbaik Wales buat tahun kelima jelas tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.

Bale semasa menghadiri sesi latihan di The Vale Resort, Vale of Glamorgan, Wales pada 6 Oktober lalu. – Reuters
Bale semasa menghadiri sesi latihan di The Vale Resort, Vale of Glamorgan, Wales pada 6 Oktober lalu. – Reuters

“Kami bekerja keras sejak beberapa tahun lalu untuk berada di posisi ini. Kami semua sudah bermain sesama sendiri sejak enam ke lapan tahun. Pengurus juga menakjubkan,” kata Bale. Pengurus, Chris Coleman ‘berpeluh’ dengan tahap kecergasan Bale sejak beberapa minggu lalu namun pemain berusia 26 tahun itu membuktikan dirinya cergas ketika beraksi bersama Real pada kempen La Liga, minggu lalu.

“Saya sudah bersedia dengan baik sejak beberapa minggu lalu,” kata Bale. “Betis saya bagus. Ia adalah 20 minit yang baik untuk memulakan permainan dan kaki ini sudah bersedia bagi dua perlawanan akan datang.”

Bosnia ketika ini menduduki tempat ketiga kumpulan selepas mengumpul 11 mata manakala Belgium menduduki tempat kedua dengan 17 mata.