Bale: Wales mampu buat kejutan

Bale: Wales mampu buat kejutan

LONDON, 5 Jun – Gareth Bale percaya Wales mampu untuk melakar kejutan menjelang Euro 2016 di Perancis, dengan muncul juara kumpulan bukan sesuatu yang mustahil biarpun England turut berada dalam kumpulan sama.

Matlamat Wales yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan utama sejak Piala Dunia 1958 adalah untuk melepasi saingan kumpulan yang turut dihuni Slovakia dan Russia.

Bagaimanapun, bintang Real Madrid itu yang dijangka membarisi kesebelasan utama untuk aksi pemanas badan terakhir bertemu Sweden di Stockholm, awal pagi esok mahu pasukan berkenaan meletakkan sasaran lebih tinggi.

“Kami tidak ke sana hanya untuk melengkapkan kuota. Kami mahu menang dalam setiap perlawanan, kami mahu menjuarai kumpulan dan memberi peluang terbaik kepada kami.

“Tidak kira dengan siapa kami bermain, kami yakin dengan kemampuan kami untuk mencatat kemenangan. Kami akan berikan aksi terbaik,” kata Bale.

Gambar fail – Gareth Bale percaya pasukan-nya mampu membuat kejutan dalam saingan Euro 2016. – AFP
Gambar fail – Gareth Bale percaya pasukan-nya mampu membuat kejutan dalam saingan Euro 2016. – AFP

Bale tidak beraksi bersama Wales sejak mereka menewaskan Andorra 2-0 dalam pusingan kelayakan Euro 2016 pada Oktober lalu.

Pemain berusia 26 tahun kelahiran Cardiff itu turut terlepas aksi persahabatan menentang Belanda, Ireland Utara dan Ukraine susulan masalah kecede-raan semua perlawanan itu Wales gagal mencatat kemenangan dengan ketiadaannya.

Bagaimanapun, dia masih kekal berhubung dengan pasukan yang menyaksikan beberapa pemain sudah mengenali antara satu sama lain untuk tempoh yang lama sejak zaman remaja.

“Kami semua seperti adik beradik dan melakukan apa saja untuk satu sama lain. Kami sudah bersama untuk tempoh yang lama dan kami tahu corak permainan masing-masing serta kami bersaing antara satu sama lain di atas padang,” kata Bale menjelang aksi sulung Kumpulan B menentang Slovakia di Bordeaux 11 Jun ini.

Wales hanya beraksi dalam satu aksi persahabatan menjelang Euro manakala England berdepan Turki, Australia dan Portugal sejak dua minggu lalu. – AFP

 

ARTIKEL YANG SAMA