Bali sambung khidmat operasi

Bali sambung khidmat operasi

DENPASAR, Indonesia, 13 Julai (AFP) – Pihak berkuasa Indonesia di lapangan terbang antarabangsa Bali, hari ini, sedang bergelut untuk mengatasi tunggakan selepas hampir 900 penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan dalam beberapa hari ini disebabkan letusan gunung berapi, sekaligus menyebabkan kekacauan perjalanan ketika kemuncak musim percutian.

Gunung Raung di pulau utama Jawa Indonesia, yang telah berderam-derum selama beberapa minggu, mengeluarkan kepulan abu yang menyelubungi Bali pada Khamis, memaksa lapangan terbang ditutup selama dua hari.

Beribu-ribu pelancong yang melawat pulau peranginan yang terkenal dengan pantainya yang berpinggirkan pokok palma mendapati diri mereka terkandas di lapangan terbang Ngurah Rai, berhampiran ibu negeri Bali Denpasar, melihat dengan bimbang pada papan pelepasan, duduk dan tidur di atas lantai.

Lapangan terbang ditutup sekali lagi semalam tatkala abu kembali tetapi dibuka semula beberapa jam kemudian selepas pihak berkuasa memberi tanda semuanya selamat.

Pegawai berkata kepulan abu terus berarak dari Bali hari ini, memberikan pihak berkuasa lapangan terbang satu peluang untuk menyelesaikan tunggakan, yang dikatakan oleh mereka akan mengambil masa tiga hari.

Seorang petani memeriksa keadaan tanaman sayurannya yang berlatarbelakangkan gunung berapi Raung setinggi 3,300 meter mengeluarkan kepulan asap dan debu. – AFP
Seorang petani memeriksa keadaan tanaman sayurannya yang berlatarbelakangkan gunung berapi Raung setinggi 3,300 meter mengeluarkan kepulan asap dan debu. – AFP

“Kami melakukannya seberapa cepat mungkin memandangkan abu mungkin kembali pada bila-bila masa,” beritahu pegawai lapangan terbang Yulfiadi kepada AFP.

Di antara Khamis dan Ahad, sejumlah 873 penerbangan telah dibatalkan atau ditangguhkan, katanya lagi.

Kebanyakan syarikat penerbangan meneruskan penerbangan pada petang semalam selepas lapangan terbang dibuka semula, tetapi syarikat penerbangan Australia Virgin Australia dan Jetstar memutuskan untuk menangguhkan perkhidmatan ke dan dari Bali.

Ramai warga Australia terkandas di Bali selepas menghabiskan musim cuti sekolah di pulau itu.

Virgin Australia juga membatalkan penerbangannya ke dan dari Bali hari ini, berkata ahli kaji cuaca mereka telah mengingatkan keadaan adalah tidak sesuai, sementara Jetstar meneruskan perkhidmatan pada siang hari.

Pengurus lapangan terbang Trikora Harjo berkata lapangan terbang sedang beroperasi seperti biasa sekali lagi, menambah: “Cuaca adalah baik, jadi saya tidak pasti kenapa satu atau dua syarikat penerbangan telah memilih untuk menangguhkan penerbangan mereka.”

ARTIKEL YANG SAMA