Balik kampong bertukar tragedi

Balik kampong bertukar tragedi

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 22 Mei – Perjalanan balik kampung dua sekawan untuk menyambut Hari Gawai bertukar tragedi selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah SUV yang datang dari arah bertentangan di Jalan Sungai Kubut, Kuala Lurah pagi semalam.

Mereka yang maut ialah pemandu kereta terbabit, Senin Gember, 40, dan penumpang Angkin Luat, 42, masing-masing berasal dari Mukah, manakala pemandu SUV, Allabou dalam usia 30-an, warganegara Morocco yang bekerja di Brunei, patah kaki kiri dan mengalami kecederaan di bahagian dada. Allabou dirawat di Hospital Limbang.

Difahamkan kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Brunei ke Limbang manakala SUV itu pula dalam perjalanan balik ke Brunei dari Limbang.

Anggota bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit manakala pemandu SUV terbabit berjaya dikeluarkan oleh orang ramai yang datang membantu di lokasi kejadian.

Anggota bomba berada di tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Anggota bomba berada di tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Balai Bomba Limbang, Kurong Beki berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta terbabit memotong kenderaan lain di sebuah selekoh sebelum bertembung dengan SUV berkenaan.

“Seramai lapan anggota bomba diketuai oleh Zakaria Matnor dengan dua buah kenderaan bergegas ke tempat kejadian yang jauhnya 42 kilometer dari Bandar Limbang sebaik menerima panggilan sekitar jam 8 pagi.

“Kami bertungkus lumus mengeluarkan pemandu dan penumpang kereta berkenaan yang tersepit di tempat duduk,” katanya sambil menambah jentera bomba tiba di lokasi 37 minit kemudian.

“Pemandu dan penumpang kereta disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandu SUV dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan menggunakan ambulans,” tambahnya lagi.