Ballack bidas tindakan Mikel

Ballack bidas tindakan Mikel

LONDON, 17 Feb – Bekas pemain tengah Chelsea, Micheal Ballack, mengkritik John Obi Mikel selepas menjadi punca sepakan percuma yang diambil Zlatan Ibrahimovic menerjah ke gawang sendiri pada aksi Liga Juara-Juara, semalam.

Pemain tengah berkenaan dilihat memalingkan badannya ketika sepakan percuma itu diambil yang menyaksikan sepakan terbabit mengenai badannya dan menerjah masuk ke dalam gol selepas gagal ditepis keluar penjaga gawang, Thibaut Courtois.

Walaupun Mikel berjaya menebus semula kesilapannya itu dengan menjaringkan gol penyamaan yang bakal memberi kelebihan buat pasukan The Blues pada aksi timbal balik kedua, namun Ballack kecewa dengan tindakan pemain berusia 28 tahun itu yang membolehkan Paris Saint Germain memperoleh gol pembukaan mereka.

Legenda bola sepak Jerman itu berkata kepada BT Sport: “Anda perlu bertanggungjawab kepada pasukan anda sendiri. Sepakan percuma pada kedudukan sebegitu memberi kelebihan kepada pasukan lawan.

“Anda harus berhadapan dengannya (sepakan percuma) seperti lelaki sejati dan tidak berpaling kerana anda tidak tahu apa yang akan terjadi. Jika pemain lawan tidak melakukan rembatan terus sebaliknya melakukan hantaran, permainan akan diteruskan. Anda tidak boleh berpaling ke belakang.”

Obi Mikel dan Marco Veratti bersaing untuk menguasai bola dalam aksi Liga Juara-Juara di Paris, kelmarin. – Reuters
Obi Mikel dan Marco Veratti bersaing untuk menguasai bola dalam aksi Liga Juara-Juara di Paris, kelmarin. – Reuters

Rio Ferdinand menambah: “Dia (Mikel) akan melihat perlawanan itu kembali dan berasa malu kerana memalingkan badannya. Ramai pemain yang turut bertindak sedemikian dalam karier mereka.

“Apabila anda dihukum seperti itu dan menjadi tumpuan, anda tidak boleh bersembunyi di mana-mana pun, tetapi dia bernasib baik kerana dia berjaya menjaringkan gol. Anda perlu kuat dan sentiasa bersedia untuk menerima rembatan di muka anda.” – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA