Balotelli jaring gol kemenangan Milan

Balotelli jaring gol kemenangan Milan

MILAN, 27 Jan – Selepas empat bulan, Mario Balotelli menjaringkan gol pertamanya buat AC Milan ketika menewaskan kelab divisyen ketiga, Alessandria 1-0 pada aksi pertama separuh akhir Piala Itali, malam tadi.

Balotelli kembali beraksi selepas terpaksa diketepikan susulan masalah hernia sejak September lalu, namun Alessandria yang dikendalikan oleh Angelo Gregucci masih berharap untuk tampil lebih baik pada aksi ulangan di San Siro, minggu depan.

Ini adalah penampilan pertama buat Balotelli yang dipinjam dari Liverpool, berada dalam kesebelasan utama bersama Luiz Adriano.

Balotelli mencuba voli hasil hantaran Mattia De Sciglio dekat tiang gol pada awal permainan tetapi sentuhan pertamanya tidak menemui sasaran.

Milan hampir menemui gol selepas setengah jam apabila Andrea Pioli memaksa penjaga gol Alessandria’Gianmarco Vannucchi menangkis rembatannya dengan kakinya.

Balotelli mensia-siakan satu lagi peluang untuk membuka akaun jaringan apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid untuk mengejar hantaran cantik Keisuke Honda tetapi Vannucchi menyelamatkan keadaan.

Apabila Luca Antonelli dijatuhkan oleh kapten Alessandria Santiago Morero ketika berlari masuk ke dalam kotak lawan, pengadil lantas memutuskan sepakan penalti.

Balotelli mengambil sepakan dan berjaya mengelirukan Vannucchi, 20, dan menjaringkan gol pertamanya sejak gol pembukaan dalam kemenangan 3-2 di Udinese, 22 September lalu.

Namun, pemain Itali itu digantikan oleh M’Baye Niang pada minit ke-70. Satu lagi aksi separuh akhir membabitkan Juventus yang akan melayan kunjungan Inter Milan malam ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA