Balotelli kembali ke AC Milan

Balotelli kembali ke AC Milan

MILAN, 25 Ogos (AFP) – Penyerang Liverpool, Mario Balotelli akan kembali ke AC Milan untuk semusim dalam perjanjian pinjaman yang diputuskan kedua-dua kelab berkenaan semalam, lapor media Itali.

Penyerang antarabangsa Itali itu dikatakan gagal menyerlah sejak menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu dan tidak bermain untuk Piala Dunia tahun lalu di Brazil.

Dengan kejohanan Euro di Perancis pada musim panas nanti, pemain berusia 25 tahun itu kini bersedia untuk kembali semula ke kelab yang ditinggalkannya sejak setahun lalu.

Laman web sukan Gazzetta dello berkata, Balotelli akan menjalani ujian perubatan di Milanello pada hari ini.

Sekiranya semua berjalan lancar, dia akan bersama Milan dalam aksi pembukaan Serie A musim ini menentang Empoli.

Balotelli akan menyertai bekas pasukannya AC Milan melalui khidmat pinjaman selama semusim. – Reuters
Balotelli akan menyertai bekas pasukannya AC Milan melalui khidmat pinjaman selama semusim. – Reuters

Laporan itu juga menyebut, tiada syarat disebut dalam perjanjian itu bahawa Milan dibenar membeli semula Balotelli sehingga tamat musim ini.

Sementara itu, majoriti penyokong Milan kelihatan menentang kembalinya semula Balotelli.

Dalam tinjauan awal yang dibuat laman web Gazzetta minggu lalu, 74 peratus pembaca percaya ia satu kesilapan dilakukan kelab itu untuk membawa semula Balotelli manakala hanya 26 peratus menerimanya.

Namun Ketua Eksekutif AC Milan, Adriano Galliani, dilaporkan antara yang bertanggungjawab dalam perpindahan itu.