Balotelli ledak gol sulung

Balotelli ledak gol sulung

MILAN, 23 Sept (AFP) – Penyerang Itali, Mario Balotelli meledak gol pertamanya pada penampilan kedua bersama AC Milan ketika gergasi Serie A itu mencatat kemenangan sukar 3-2 ke atas Udinese, semalam.

Ia penampilan pertama Balotelli dalam kesebelasan utama Rossoneri sejak kembali ke kelab itu menerusi pinjaman dari Liverpool, awal musim ini.

Begitu pun, penyerang kontroversi yang meninggalkan Milan setahun lalu untuk menyertai Liverpool itu hanya memerlukan lima minit untuk membuka akaun golnya di Serie A dengan kemenangan membawa kelab itu di kedudukan keempat liga. Bagaimanapun Balotelli berkata bukan mudah untuknya meledak gol menentang Udinese kerana semua pemain kelab itu seakan mahu melakukan kekasaran ke atasnya.

“Ia perlawanan yang sukar buat saya kerana saya tahu mereka mahu melancarkan provokasi terhadap saya. Saya menerima kad kuning tanpa sebarang sebab dan ia merosakkan permainan saya sedikit. Apa pun, saya gembira dengan prestasi saya,” katanya.

Mario Balotelli (kiri) bersaing dengan pemain Udinese, Ali Adnan, pada perlawanan Serie A, Udinese menentang AC Milan di Stadium Friuli di Udine, Itali pada 22 September 2015. – Agensi
Mario Balotelli (kiri) bersaing dengan pemain Udinese, Ali Adnan, pada perlawanan Serie A, Udinese menentang AC Milan di Stadium Friuli di Udine, Itali pada 22 September 2015. – Agensi

Dua lagi gol Milan dijaringkan Giacomo Bonaventura dan Cristian Zapata dengan ketiga-tiga gol diledakkan pada babak pertama sebelum Udinese bangkit pada babak kedua. “Separuh masa pertama berjalan baik, hanya ada satu pasukan di atas padang. Pada babak kedua, saya memberitahu pemain yang perlawanan ini akan berlangsung 95 minit, bukan 45 namun berbanding daripada kami mengawal (kelebihan), kami memerlukan lagi gol. Kami perlu belajar dengan lebih baik bagaimana untuk mengawal gugup,” kata jurulatih Milan, Sinisa Mihajlovic.

Kebangkitan babak kedua Udinese bermula dengan jaringan Emmanuel Badu pada minit ke-51 sebelum Duvan Zapata menambah gol kedua, tujuh minit kemudian.