Balotelli sedia bangkit

Balotelli sedia bangkit

MILAN, 27 Ogos (AFP) – Pemain Liverpool yang gagal menyerlah, Mario Balotelli mendakwa sudah meninggalkan tabiat keanak-anakan dan sedia bangkit di AC Milan untuk memenuhi impian bapanya yang sudah meninggal dunia agar dapat beraksi kembali bersama Itali.

Balotelli kembali bersama skuad Rossoneri itu secara pinjaman selama semusim, dipersendakan di Itali dengan kebanyakan penyokong kelab dan pakar bola sepak menolak kepulangan pemain itu ke kelab yang ditinggalkan semusim lalu.

Balotelli gagal menyerlah di Anfield – yang dianggap mampu meledak sebaliknya menjadi tanggungan di situ – pada pandangan legenda skuad The Reds, Graeme Souness, dan ramai lagi.

Bertentangan dengan jangkaannya sendiri, pemain berusia 25 tahun itu bagaimanapun mendapat peluang kedua daripada Milan, dan pemain itu sedar, ia adalah peluang terakhirnya bersama kelab ternama.

Dalam temubual bersama majalah Gazzetta dello Sport, dia berkata: “Saya berasakan seperti pemain yang baharu selesai separuh daripada kerjaya. Saya bermain dan hidup seperti kanak-kanak.

Balotelli sedia bangkit untuk memenuhi impian mendiang bapanya. - Reuters
Balotelli sedia bangkit untuk memenuhi impian mendiang bapanya. – Reuters

“Ia sentiasa tidak menjadi, saya mensia-siakan terlalu banyak peluang. Tapi ia masih belum berakhir. Saya masih ada separuh masa lagi untuk beraksi. Sekarang saya bermain seperti lelaki dewasa,” katanya.

Kontrak Balotelli bersama AC Milan ditambah dengan klausa tingkah laku baik yang menghalangnya daripada menggayakan potongan rambut dan pemakaian yang pelik. Selain itu, dia juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat.

Akhbar sukan harian Itali, Gazzetta dello Sport berkata Ketua Pegawai Eksekutif Milan, Adriano Galliani menggunakan klausa peraturan yang dikenakan kepada sesiapa yang berkhidmat dengan tentera udara Itali.

ARTIKEL YANG SAMA