Balotelli temui sentuhan

Balotelli temui sentuhan

PARIS, 22 Sept – Penyerang kontroversi Mario Balotelli meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Ligue 1 apabila membantu Nice melonjak ke tangga teratas liga, semalam.

Penyerang antarabangsa Itali itu menjaringkan dua gol untuk kali kedua buat Nice bagi membantu pasukan itu menewaskan Monaco 4-0, sekali gus merampas kedudukan teratas daripada Paris Saint-Germain.

Pemain berusia 26 tahun itu kini sudah merekodkan empat gol dalam tiga perlawanan sejak menyertai Nice dari Liverpool selepas mengharungi kerjaya suram sejak beberapa tahun lalu.

Jumlah jaringan dalam dua perlawanan musim ini melebihi semua gol jaringannya sepanjang dua musim sebelum ini.

Balotelli menjaringkan hanya satu gol dalam 20 perlawanan Serie A ketika dipinjamkan ke AC Milan musim lalu dan satu gol untuk Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim sebelumnya.

Mario Balotelli (kiri) terjatuh ketika bersaing dengan pemain Monaco, Radamel Falcao dalam aksi L1 di stadium Allianz Riviera kelmarin. – AFP
Mario Balotelli (kiri) terjatuh ketika bersaing dengan pemain Monaco, Radamel Falcao dalam aksi L1 di stadium Allianz Riviera kelmarin. – AFP

“Diharapkan ia berterusan,” kata penjaring gol Nice, Paul Baysse mengulas mengenai aksi cemerlang Balotelli dalam awal saingan musim ini.

“Dia pemain hebat yang sentiasa bekerja keras untuk pasukan. Dia cuba melakukan yang terbaik dan dia mempunyai mentaliti yang kuat.

“Semua orang tahu dia pemain yang baik, dia mempunyai semangat sepasukan yang tinggi dan itu baik untuk seluruh pasukan”.

Balotelli turut menjaringkan gol pada penampilan pertamanya dalam saingan liga musim ini bersama Nice ketika membantu pasukan itu mencatat kemenangan 3-2 ke atas Marseille.

Pada awal permainan rembatan rendah Balotelli mencemaskan penjaga gol Monaco Danijel Subasic apabila Nice mendahului pada minit ke-17 selepas Baysse menanduk sepakan percuma Jean Seri.

Budak nakal Itali itu kemudian berlari selepas mendapat hantaran daripada rakannya Younes Belhanda yang dipinjaman dari Dynamo Kiev sebelum membidik ke penjuru gawang Subasic selepas setengah jam. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA