Balotelli terima bonus kesetiaan

Balotelli terima bonus kesetiaan

LONDON, 14 Ogos (Reuters) – Media Britain melaporkan penyerang kontroversi Liverpool, Mario Balotelli akan memperoleh bonus kesetiaan berjumlah enam angka seandainya kekal di Anfield sehingga jendela perpindahan ditutup pada 1 September ini.

Pemain kelahiran Itali itu tidak beraksi bersama kelab sejak 28 April lalu, dan selain tidak beraksi untuk tempoh agak lama, bekas pemain Manchester City itu turut dibekukan pengurus, Brendan Rodgers dan tidak dibenarkan berlatih bersama pasukan utama.

Balotelli hanya membuat 10 penampilan dalam kesebelasan utama The Reds pada aksi Liga Perdana Inggeris musim lalu dan hanya menjaringkan satu gol sejak menyertai kelab Merseyside itu pada Ogos tahun lalu.

Liverpool membayar 16 juta pound kepada AC Milan untuk mendapatkan khidmatnya. Walaupun dikaitkan dengan beberapa perpindahan sebelum musim berakhir, masih belum ada kelab yang menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya.

Balotelli dilaporkan akan menerima bonus kesetiaan berjumlah enam angka jika kekal di Anfield sehingga jendela perpindahan ditutup hujung bulan ini. – Reuters
Balotelli dilaporkan akan menerima bonus kesetiaan berjumlah enam angka jika kekal di Anfield sehingga jendela perpindahan ditutup hujung bulan ini. – Reuters

Penyerang kontroversi itu dikatakan turut bersetuju dengan pemotongan gaji ketika menandatangani kontrak selama tiga tahun di Anfield namun ejennya, Mino Raiola menambah beberapa terma ke dalam kontrak itu termasuk beberapa siri bonus kesetiaan.

Raiola sebelum ini berkata Balotelli tidak akan meninggalkan Liverpool pada jendela perpindahan kali ini sekalipun menerima beberapa tawaran dari kelab Itali.

The Reds dilaporkan secara meluas memburu seorang lagi penyerang dan awal minggu ini, pertahanan yang sudah agak lama dilupakan, Jose Enrique menuduh Rodgers sebagai ‘mengasingkan’ dirinya selain Balotelli dan penyerang, Fabio Borini.

ARTIKEL YANG SAMA