Balu mohon percepatkan bantuan baiki rumah

Balu mohon percepatkan bantuan baiki rumah

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 2 Dis – Seorang balu bersama tujuh ahli keluarga merayu bantuan untuk membaiki rumah mereka di Perumahan STKRJ, Kampung Mumong, Kuala Belait yang rosak akibat kebakaran.

Dayang Sopiah binti Abdullah dan keluarganya yang ketika ini tinggal sementara di bangunan flet kerajaan berdekat Sekolah Menengah Perdana Wazir di Kuala Belait semenjak 2005 lagi setelah rumah rosak dan hangus dalam satu kejadian kebakaran dan ditempatkan di sana oleh Jabatan Rancangan Perumahan Negara.

“Sudah 10 tahun kami menetap di sini dan selama itu, arwah suami yang meninggal dunia tahun lalu, berulang kali membuat permohonan kepada agensi kerajaan untuk meminta bantuan kewangan bagi memperbaiki rumah itu,” kata Dayang Sopiah, 55.

Menurutnya lagi, arwah suaminya juga telah membuat permohonan pelbagai badan dan agensi kerajaan yang berkenan namun sehingga kini belum mendapat jawapan.

Beliau yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di Tamu Daerah Belait dan Pekan Seria setiap hari memberitahu, mereka masih lagi menanggung bayaran bagi rumah yang hangus dan membayar sewa bagi unit flet yang mereka diami sekarang.

Dayang Sopiah bersama dua orang cucu beliau.
Dayang Sopiah bersama dua orang cucu beliau.

Beliau berharap dapat membawa semula keluarganya ke rumah lama mereka dan menunaikan hajat arwah suaminya agar mereka kembali ke sana.

Wartawan Media Permata menemui pegawai di Jabatan Daerah Belait untuk menanyakan perkara itu dan beliau mengatakan kes keluarga Dayang Sopiah sudah pun diambil maklum dan sedang dinilai di bawah fasa ketiga Program Quickwin.

Quickwin merupakan program memperbaiki dan membina semula rumah-rumah rosak akibat kemalangan atau ditimpa musibah di bawah penyeliaan badan dan agensi kerajaan berkenaan dan jabatan itu menjadi ‘focal point’ bagi penduduk di daerah ini.

Menurutnya, ketika ini sembilan buah rumah dalam fasa satu sudah selesai dibina dan sembilan buah rumah lagi yang lain dalam fasa kedua sudah diluluskan bagi pembinaan.

ARTIKEL YANG SAMA