Ban Ki-moon tidak optimistik

Ban Ki-moon tidak optimistik

RAMALLAH, Wilayah Palestin, 22 Okt – Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon memberitahu Majlis Keselamatan semalam bahawa beliau ‘tidak berasa optimistik’ selepas rundingannya dengan pemimpin Israel dan Palestin, merayu ketenangan selepas pergolakan teruk selama tiga minggu.

Ban berkunjung ke rantau itu pada minggu ini untuk menggesa Israel dan palestin supaya mengelak ‘keadaan berbahaya yang semakin genting’ yang mungkin membawa kepada pemberontakan besar-besaran Palestin.

Beliau tidak menawarkan cadangan awam untuk menamatkan pergolakan, namun bercakap mengenai pengembalian kepada rundingan bermakna selepas usaha perdamaian yang terbantut dan kekecewaan yang meningkat dengan pendudukan Israel.

“Kami akan terus menyokong segala usaha untuk mewujudkan syarat-syarat untuk menjayakan rundingan bermakna,” kata Ban selepas bertemu dengan Abbas di bandar Tebing Barat Ramallah.

“Cabaran paling penting kami adalah menghentikan aliran keganasan terbaru dan mengelak sebarang kehilangan nyawa.”

Menekankan suasana takut dan rasa tidak percaya di rantau, seorang pengawal keselamatan menembak mati seorang lelaki Israel di baitulMaqdis beberapa jam selepas tersilapnya sebagai seorang ‘pengganas’, menurut jurucakap polis.

Sekurang-kurangnya 47 penduduk Palestin dan seorang penduduk Arab Israel telah terbunuh dalam keganasan yang bermula pada awal bulan, termasuk penyerang. Sekurang-kurangnya lapan warga Israel telah terkorban.

Juga semalam, seorang wanita ditembak dan mengalami kecederaan selepas menghampiri petempatan Israel dengan sebilah pisau.

Lewat hari itu, seorang tentera Israel cedera parah dalam satu kejadian tikam berhampiran petempatan Tebing Barat dan penyerangnya ditembak mati.

Dan pada petang, seorang penduduk Palestin memandu keretanya merempuh sekumpulan penduduk Israel di Tebing Barat, mencedera lima di antara mereka, sebelum ditembak oleh tentera dan mengalami kecederaan serius.

Ban juga bertemu dengan keluarga mangsa keganasan terbaru sebelum berkunjung ke Amman, di mana beliau dijangka bertemu dengan raja Jordan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA