Ban pecat ketua misi PBB CAR

Ban pecat ketua misi PBB CAR

BANGUI/NEW YORK, 13 Ogos – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon memecat ketua misi pengaman PBB ke Republik Afrika Tengah (CAR) semalam ketika muncul dakwaan serangan seksual baru ke atas pasukan tentera badan dunia itu di negara tersebut.

Ketua PBB itu memberitahu wartawan beliau meminta Babacar Gaye supaya mengosongkan jawatannya selepas beberapa tuduhan serangan seksual dan eksploitasi oleh pengaman PBB, termasuk laporan Amnesty International Selasa lepas yang mendakwa budak perempuan berusia 12 tahun dirogol minggu lepas di ibu negara Bangui.

“Saya tidak boleh nyatakan dengan perkataan betapa marah dan malunya saya dengan laporan yang sudah berulang kali berhubung serangan seksual dan eksploitasi oleh pasukan misi PBB,” Ban memberitahu wartawan.

“Apabila PBB mengerahkan misi pengaman, kami melakukannya untuk melindungi masyarakat dunia. Saya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan yang menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan dengan misi kami.”

Jurucakap Ban, Stephane Dujarric, berkata keputusan ketua PBB itu untuk memecat Gaye adalah “tidak pernah berlaku sebelum ini”, sambil menegaskan ia adalah akibat daripada beberapa kes salah laku seksual yang tidak boleh dinafikan lagi. Ban berkata beliau akan mengadakan sesi khas Majlis Keselamatan PBB hari ini dan akan mengadakan persidangan video dengan semua ketua misi pengaman untuk membincangkan tanggungjawab badan dunia itu dalam penyiasatan dakwaan serangan seksual. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA