Banci penduduk mendapat respons positif

Banci penduduk mendapat respons positif

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Fasa Pertama Kemas Kini Banci Penduduk dan Perumahan (KBPP) 2016 yang bermula pada Mei lalu dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di kawasan dan kampung di seluruh negara telah menunjukkan respons yang sangat menggalakkan daripada isi rumah dan keluarga.

Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Haji Abdul Amin bin Haji Hashim turut memberitahu bahawa sebilangan daripada pegawai banci yang telah dilantik pada Mei lalu akan meneruskan kerja-kerja mengutip balik borang tanya yang belum lagi diterima daripada isi rumah.

Sehubungan itu, beliau berharap isi rumah akan bekerjasama dan menghubungi pegawai banci mengikut kawasan dalam mengembalikan borang tanya masing-masing. Beliau berkata sedemikian pada sesi latihan pegawai-pegawai banci KBPP 2016 yang berlangsung di dewan Pusat Dakwah Islamiah, hari ini.

Menyentuh mengenai pengendalian KBPP di kawasan dan kampung yang lain, beliau berkata ia akan terus dijalankan bermula penghujung Julai 2016 ini.

Dalam perkara ini, beliau menyeru semua pegawai banci supaya lebih komited dan pro-aktif dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan dan yang paling penting ikhlas, bekerjasama dan saling membantu antara satu sama yang lain.

Haji Abdul Amin menyeru agar orang ramai memberikan kerjasama kepada pegawai banci.
Haji Abdul Amin menyeru agar orang ramai memberikan kerjasama kepada pegawai banci.

“Peranan pegawai-pegawai banci dengan usaha yang tekun dan gigih disertai dengan kesopanan adalah antara faktor-faktor utama bagi mendapatkan kerjasama yang baik daripada isirumah dan keluarga,” tegasnya.

KBPP kali ini melibatkan 104 orang Pegawai Banci, iaitu 21 orang penyelia dan 83 orang penemu duga telah dilantik yang terdiri daripada pegawai-pegawai banci yang sudah pernah dilantik sebelum ini, yang mana mereka akan menjalankan KBPP di tiga daerah, iaitu Brunei dan Muara, Belait dan Tutong.

Beliau turut menekankan, selain menjalankan kerja-kerja menemu duga, pegawai banci juga akan mengumpul berbagai jenis maklumat peribadi daripada keluarga dan isi rumah seperti yang diperlukan di dalam borang tanya banci.

“Kemas kini Banci Penduduk Dan Perumahan (KBPP) 2016 adalah dijalankan di bawah Akta Banci, Penggal 78 dari Undang-undang Negara Brunei Darussalam di mana maklumat itu adalah sulit dan dirahsiakan,” tegasnya.

Beliau dalam ucapannya turut menekankan, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, permintaan data telah menunjukkan peningkatan daripada pelbagai agensi di mana penglibatan semua dalam memperolehi dan menghasilkan maklumat berkualiti melalui KBPP ini adalah amat penting.

Manakala hasil yang diperolehi melalui KBPP 2016 ini adalah amat penting bagi memberikan tanda aras baru bagi kegunaan penilaian, perancangan dan pembentukan dasar oleh pihak kerajaan, dan pelbagai tujuan penganalisisan dan penyelidikan.

Antara pegawai banci yang menghadiri sesi latihan.
Antara pegawai banci yang menghadiri sesi latihan.

Di samping itu, ia juga boleh digunakan oleh pihak swasta, akademia, penyelidik, penuntut dan orang ramai bagi keperluan dan kegunaan masing-masing.

Antara objektif KBPP 2016 ini adalah untuk mengemas kini bilangan dan maklumat penduduk yang telah diperolehi semasa Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2011 yang meliputi ciri-ciri demografi, pendidikan dan pekerjaan.

Selain mengemas kini bilangan dan senarai perumahan di seluruh negara bagi kegunaan banci dan kajian akan datang.

Jabatan Perangkaan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) juga berhasrat untuk menjalankan uji cuba kaedah mengisikan dan mengembalikan borang tanya secara elektronik sebagai persediaan awal bagi pengendalian Banci Penduduk dan Perumahan pada tahun 2021.

Melalui kaedah ini, ketua atau ahli isi rumah boleh mengisikan sendiri borang tanya banci dengan memuat turun borang daripada laman web JPKE dan mengembalikannya melalui e-mel.

Fasa kedua akan dijalankan pada Oktober hingga November 2016 ini, melibatkan kira-kira 5,000 buah keluarga dan isi rumah yang terpilih secara rambang di beberapa buah kampung dan kawasan bagi mengumpulkan maklumat yang lebih terperinci mengenai ciri-ciri tenaga kerja.

ARTIKEL YANG SAMA