Banci Tahunan Perusahaan/Perniagaan 2015 bermula

Banci Tahunan Perusahaan/Perniagaan 2015 bermula

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) memaklumkan bahawa Banci Tahunan Perusahaan/Perniagaan (BTP) 2015 bagi Negara Brunei Darussalam akan dikendalikan bermula bulan ini.

Sehubungan dengan itu, borang tanya BTP 2015 akan diedarkan kepada syarikat/perusahaan melalui pos mulai esok (2 Mei), dan boleh juga dimuat turun melalui laman web JPKE.

Tarikh tutup untuk mengembalikan borang tanya yang telah lengkap diisikan adalah pada 16 Jun 2015, sama ada melalui pos, faks, e-mel atau menghantar terus ke JPKE.

JPKE dalam kenyataannya yang dikeluarkan, hari ini, berkata sokongan dan kerjasama daripada semua syarikat/perusahaan di negara ini dalam memberikan maklumat yang dikehendaki adalah sangat diperlukan untuk menjayakan BTP 2015 agar dapat mencapai matlamat yang dihasratkan.

Menurut kenyataan itu lagi, objektif utama BTP 2015 adalah untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur dan ciri-ciri aktiviti ekonomi syarikat-syarikat perusahaan/ perniagaan sektor swasta, terutama sekali mengenai perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

BTP akan dikendalikan secara tahunan mulai tahun ini sebagai tambahan kepada Banci Ekonomi (BE) bagi Perusahaan/Perniagaan yang hanya dijalankan setiap lima tahun sekali.

Hasil daripada BTP akan dapat memberikan maklumat yang lebih kerap dan terkini mengenai profil syarikat perusahaan/perniagaan sektor swasta dalam membantu perancangan, penyelidikan dan penyediaan dasar berkaitan perkembangan sektor swasta sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

BTP 2015 meliputi semua syarikat perusahaan/perniagaan yang aktif beroperasi di negara ini dan akan mengumpulkan maklumat mengenai bilangan pekerja, pendapatan dan perbelanjaan perusahaan/perniagaan bagi tahun rujukan 2014.

Banci Tahunan Perusahaan/Perniagaan adalah dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Bab 81 daripada Undang-Undang Negara Brunei Darussalam.

JPKE turut memberi jaminan kepada semua syarikat perusahaan/perniagaan yang terlibat bahawa maklumat yang dikumpulkan semasa banci ini akan disimpan sulit dan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai BTP 2015 bolehlah menghubungi JPKE di talian 2230250 atau 2230251 semasa waktu pejabat, atau hantar e-mel ke alamat info.statistics@jpke.gov.bn, atau melayari laman sesawang www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA