Banci tahunan secara online

Banci tahunan secara online

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan melaksanakan Banci Tahunan Majikan/Pekerja, Gaji, Pendapatan dan Jam Bekerja bagi Tahun 2015, secara online melalui Sistem Kawalan Buruh (LCS) di laman sesawang www.lcs.gov.bn mulai tahun ini.

Sehubungan itu, Jabatan Buruh dalam kenyataannya, memohon kerjasama semua syarikat di sektor swasta yang beroperasi di Negara Brunei Darussalam, sama ada yang mempunyai Lesen Pengambilan Tenaga Kerja Asing (Kuota Buruh) atau syarikat yang hanya menggaji tenaga kerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan (tiada pekerja asing), yang masih berkhidmat sehingga/pada 30 Oktober 2015, supaya akan dapat memberikan/melengkapkan maklumat-maklumat para pekerja (tempatan dan asing) termasuk majikan, di bawah tanggungan syarikat berkenaan ke dalam borang banci yang disediakan di laman sesawang berkenaan.

Ini termasuklah institusi swasta, koperasi, persatuan, kelab dan badan-badan berkanun, yang mempunyai Lesen Pengambilan Tenaga Kerja Asing.

Walau bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, Perkhidmatan Rumah Tangga/Persendirian dikecualikan daripada melengkapkan borang banci berkenaan.

Borang tersebut hendaklah dilengkapkan dalam talian di laman sesawang tersebut menggunakan nombor pendaftaran akaun LCS yang diberikan oleh pihak jabatan bermula 1 Oktober 2015, dan borang yang telah lengkap hanya akan dapat diterima melalui online mulai 31 Oktober, manakala itu, tarikh akhir menerima borang ialah pada 30 November 2015.

Jabatan Buruh menyatakan bahawa banci tahunan ini mengikut Peruntukan Akta Maklumat Pekerjaan 1974, Penggal 99 di bawah Bab 3(1). Menurut Bab 8 dalam akta berkenaan, mana-mana majikan yang gagal menghantar maklumat ini, boleh didenda sebanyak $2,500 dan penjara enam bulan, manakala itu, jika berterusan denda sebanyak $50 sehari akan dikenakan.

Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh merujuk ke Kaunter Perkhidmatan LCS Workstation, Ruang Legar Tingkat Bawah, Ibu Pejabat Jabatan Buruh, Jalan Dewan Majlis, atau menghubungi talian 2383006 sambungan 4101 dan 4103, atau e-mel ke alamat info.buruh@buruh.gov.bn, atau layari laman sesawang http://www.labour.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA