Bandar Bintulu dilanda ribut awal pagi

Bandar Bintulu dilanda ribut awal pagi

MIRI, 3 Ogos – Ribut yang berlaku pada 1:30 pagi tadi di bandar Bintulu telah menyebabkan banyak kerosakan akibat pokok tumbang, menerbangkan bumbung dan menjejaskan telekomunikasi.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Bintulu Leftenan Muda Zuriza Sharkawi berkata pada masa ini tiada laporan mangsa dipindahkan dari rumah masing-masing walaupun beberapa buah rumah mengalami kerosakan.

Beliau berkata kebanyakan laporan yang diterima termasuk pokok tumbang serta rumah yang rosak tetapi keadaan masih terkawal.

“Kami masih bermesyuarat dengan agensi berkaitan untuk menentukan tindakan seterusnya,” kata beliau dan menambah ribut itu turut menjejaskan telekomunikasi beberapa agensi.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu menerima laporan mengenai pokok tumbang di Kelab Kidurong, Klinik Kesihatan Kidurong, Jalan Pantai ABF, Jalan Tun Ahmad Zaidi, Jalan Kidurong, Taman Putera dan Taman Chin Lee.

Ia juga menerima laporan mengenai bumbung rumah penduduk diterbangkan ribut kuat itu di Taman Beverly Hill bagaimanapun tiada penduduk yang cedera.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Rodziah Morshidi berkata kawasan yang paling teruk terjejas di Tanjung Kidurong, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk pagi ini.

“Lalu lintas sesak disebabkan pokok besar angsana berusia 20 tahun tumbang dan menyebabkan laluan utama terhalang ke kawasan industri di Tanjung Kidurong,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini. – Bernama