‘Bandar khemah’ Sydney dirobohkan

SYDNEY, 11 Ogos – Sebuah bandar khemah di Sydney dirobohkan hari ini selepas perbalahan politik berhubung masalah mereka yang tidur di luar pada musim sejuk mencetuskan kritikan.

Lebih daripada 50 orang telahpun menetap di khemah beraneka warna di tengah-tengah bangunan pejabat dan kedai mewah di tengah Martin Place, dengan khemah menjadi simbol paling ketara kekurangan penginapan kos murah di Sydney.

Majlis perbandaran Sydney dan kerajaan NSW saling menuduh sesama sendiri kerana gagal mengatasi masalah khemah, sebelum Perdana Menteri negeri Gladys Berejiklian meluluskan undang-undang baru pada Rabu yang membenarkan polis memindahkan penghuni khemah. Undang-undang tersebut berkuatkuasa hari ini.

Seorang lelaki mengemaskan khemahnya selepas ‘Bandar Khemah’ mereka dirobohkan oleh pihak berkuasa Sydney. – AFP
Seorang lelaki mengemaskan khemahnya selepas ‘Bandar Khemah’ mereka dirobohkan oleh pihak berkuasa Sydney. – AFP

“Apa yang sedang berlaku di tengah bandar paling kaya, di salah sebuah negara paling kaya di dunia, saya fikir ia adalah keputusan yang agak membimbangkan,” beritahu Wakil Rakyat New South Wales David Shoebridge kepada wartawan tatkala khemah dirobohkan.

“Untuk mengatasi krisis tanpa rumah dengan menghantar polis, mengugut menahan orang dan merampas barang milik mereka, saya fikir ia adalah tahap rendah untuk politik di Australia,” kata beliau.

Pengkritik undang-undang baru juga telah meluahkan kebimbangan ia mungkin digunakan untuk meleraikan bantahan di bandar, tetapi Berejiklian menekankan ia disasarkan khusus pada ‘aktiviti yang tidak dibenarkan” seperti tapak kem sementara. – AFP