Bandar Persahabatan kukuh pelancongan

Bandar Persahabatan kukuh pelancongan

JOGJAKARTA, Indonesia, 21 Dis (Bernama) – Bandar raya Johor Baharu dan Jogjakarta yang mempunyai banyak persamaan, sesuai dijadikan ‘Bandar Persahabatan’ bagi mengukuhkan lagi kerjasama, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Beliau berkata konsep itu diyakini dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan dan pelaburan antara kedua-dua wilayah.

“Penerbangan terus Johor Baharu-Jogjakarta-Johor Baharu oleh syarikat AirAsia sebanyak empat kali seminggu menjadi faktor utama yang diyakini dapat menjayakan usaha ‘Bandar Persahabatan’ ini.

“Selain mencerminkan aspirasi komuniti satu ASEAN, hasrat ini secara tidak langsung akan turut memberi manfaat kepada rakyat negeri Johor, khususnya yang terlibat secara aktif dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berakhirnya misi galakan pelancongan dan pelaburan ‘Explore Johor’ ke Jogjakarta selama tiga hari yang bermula Jumaat lepas, di sini, hari ini.

Program disertai oleh 55 wakil dari jabatan dan agensi kerajaan berkaitan, agensi pelancongan swasta serta wakil media di Johor.

Tee berkata jumlah pelancong Indonesia ke Johor meningkat 3.92 peratus kepada 875,347 orang bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas, daripada 842,338 orang bagi tempoh sama pada 2014.

Jumlah pelancong dari Jogjakarta ke Johor juga meningkat kepada 42,392 orang bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, daripada 22,682 orang bagi tempoh sama setahun lalu.

Tee berkata Jogjakarta yang dikenali sebagai ‘Kota Pelajar’, ‘Kota Budaya’ dan ‘Kota Batik’ mempunyai 3.5 juta penduduk, sekali gus menawarkan potensi besar kepada sektor pelancongan Johor.

“Begitu juga Johor yang mempunyai populasi 3.31 juta orang, dilihat berpotensi bagi pasaran pelancongan Jogjakarta seandainya usaha memperkukuh kerjasama pelancongan dan pelaburan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” kata Tee.

Sementara itu mengenai Explore Johor, Tee berkata program akan diperluas ke lebih banyak lokasi tahun depan dengan tumpuan kepada kota-kota yang mempunyai penerbangan terus dari Johor Baharu seperti Bandung dan Surabaya di Indonesia.

Katanya penggiat pelancongan yang ditemui sepanjang program Explore Johor itu menyuarakan keterujaan mereka dengan kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan oleh negeri Johor.

“Sebelum ini mereka tidak tahu tentang pelbagai produk pelancongan yang ditawarkan di Johor dan menyambut baik misi kita sekali gus akan mengatur kunjungan balas ke Johor dalam masa terdekat,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA