Bandar raya Jepun banjir

Bandar raya Jepun banjir

TOKYO, 10 Sept – Bandar raya Jepun tenggelam hari ini apabila sungai melimpah menyebabkan beberapa kediaman dan kereta musnah tatkala penduduk terdesak menunggu bantuan dan beribu lagi diarahkan untuk berpindah.

Rakaman dramatik televisyen menunjukkan air berlumpur melimpah dari sungai Kinugawa di bandar Joso di utara Tokyo yang menjadi kediaman sekitar 65,000 orang.

Beberapa orang dilaporkan hilang di seluruh negara ketika banjir setinggi paras pinggang di beberapa kawasan mengakibatkan penyelamat bergelut untuk membawa penduduk ke tempat selamat ketika kawasan besar ditenggelami banjir dalam kejadian Taufan Etau.

Hujan lebat juga mencetuskan masalah pencemaran air di loji nuklear Fukushima yang lumpuh apabila ia menenggelamkan tapak–tapak pam pengaliran air yang membawa air tercemar radiasi ke lautan.

“Ini adalah skala hujan lebat yang belum kami alami sebelum ini,” peramal kaji cuaca, Takya Deshimaru memberitahu sidang akhbar tergempar.

Para penyelamat memindahkan orang awam menggunakan bot ketika meredah banjir di Oyama di wilayah Tochigi, utara Tokyo pada 10 September. – AFP
Para penyelamat memindahkan orang awam menggunakan bot ketika meredah banjir di Oyama di wilayah Tochigi, utara Tokyo pada 10 September. – AFP

Perdana Menteri Shinzo Abe berkata kerajaan dalam keadaan berjaga-jaga. “Kami akan terus bersatu dan melakukan yang terbaik untuk berdepan bencana itu….dengan jiwa orang ramai menjadi keutamaan,” dia memberitahu wartawan.

Di Joso, kediaman dan kereta dihanyutkan bersama talian elektrik ketika anggota tentera menuju kawasan bencana untuk membantu misi menyelamat.

Seorang lelaki yang bersendirian bergantung pada tiang elektrik konkrit, tidak dapat bergerak kerana air yang meningkat dengan mendadak. Dia kemudiannya berjaya diselamatkan. Pegawai kecemasan dari sebuah helikopter menyelamatkan orang dari rumah yang ditenggelamkan.

Penduduk yang tertekan melambai-lambaikan tuala kepada penyelamat ketika mereka terpaksa berdiri di anjung tingkat dua menunggu bantuan.

“Tolong terus meminta bantuan. Jangan berputus asa,” kata badan penyiaran NHK, dalam mesej kepada penduduk yang terjejas. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA