Bandar raya Kuching diisytihar Bandar raya Perpaduan 1 Ogos

Bandar raya Kuching diisytihar Bandar raya Perpaduan 1 Ogos

KUCHING, 30 Julai (Bernama) – Tanggal 1 Ogos ini, bakal menyaksikan sejarah tercipta di Bumi Kenyalang dengan pengisytiharan Kuching sebagai ‘Bandar raya Perpaduan’ oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Pengisytiharan itu bersempena sambutan perasmian ulang tahun Hari Bandar raya Kuching ke-27 di Stadium Perpaduan di sini. Anggota Lembaga Pemegang Amanah Y1M Datuk Seri Azman Ujang berkata Bandar raya Kuching yang dihuni lebih 600,000 penduduk daripada sekitar 30 etnik ketika ini, wajar menjadi contoh kepada dunia bagaimana toleransi antara kaum dapat mewujudkan sebuah bandar raya cukup harmoni, pesat membangun, menjunjung teguh konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

“Perpaduan kaum di bandar raya ini cukup teguh, tidak seperti mana-mana kota raya di dunia yang kita lihat perpaduan kalangan penduduk pelbagai etnik cukup rapuh,” kata bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang merupakan anak jati Kuching itu kepada Bernama.

Ilham menjadikan Kuching sebagai sebuah ‘Bandar raya Perpaduan’ dicetuskan Yayasan 1Malaysia (Y1M) sekitar Disember tahun lepas yang membawa kepada pembentangan satu kertas kerja ke peringkat tertinggi pentadbiran kerajaan Sarawak yang sekali gus menarik minat Ketua Menteri.

Adenan yang cukup teruja dengan idea berkenaan, melihat potensi besar kewujudan bandar raya berkenaan dalam memupuk semangat perpaduan dan intergrasi melewati batas sempadan Kuching mahupun Sarawak dan terus mengarahkan jentera kerajaan negeri menerajui inisiatif dalam menjayakan Kuching sebagai sebuah ‘Bandar raya Perpaduan’.