Bandaraya Kuching anjur Pertunjukan Orkid Antarabangsa mulai 10 Sept

Bandaraya Kuching anjur Pertunjukan Orkid Antarabangsa mulai 10 Sept

KUCHING, 2 Sept (Bernama) – Pertunjukan Orkid Antarabangsa Ketiga akan diadakan di sini selama empat hari mulai 10 Sept dan dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara, kata Datuk Bandar Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai.

Beliau memberitahu media di sini hari ini 17 pasukan dari 13 negara akan mengambil bahagian dalam pameran/pertandingan itu yang akan diadakan di taman orkid di Jalan Astana di sini.

Negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Indonesia, Jepun, Filipina, Hong Kong, China, Brunei, Thailand dan Korea.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem akan merasmikan pertunjukan itu pada 10 Sept.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Abdul Wahab berkata Kuching akan turut menjadi tuan rumah acara berprestij Persidangan Orkid Asia/Pasifik ke-13 pada 2019, selepas memenangi bidaan untuk menganjurkannya dalam persidangan yang berlangsung di Osaka, Jepun, baru-baru ini.

Abang Abdul Wahab berkata bandar raya itu akan turut menganjurkan Persidangan Antarabangsa Bandar Raya Yang Berjiwa, kali kedua pada 7 dan 8 Sept ini.

Sehingga kini, 200 peserta dari pelbagai dewan bandar raya, majlis perbandaran, majlis daerah dan majlis luar bandar di seluruh negara telahpun mendaftar untuk menyertai persidangan itu.

Ia menyediakan pentas kepada mereka untuk bertukar-tukar idea serta pengalaman dalam mewujudkan bandar raya yang bersih, indah dan selamat.

Beliau berkata penceramah terkemuka seperti Paul Scriven, seorang ahli majlis dan ketua di Sheffield City Council (UK) serta pensyarah dari Curtin University, Australia, Prof Steffen Lehman akan menyampaikan ceramah pada majlis berkenaan.

“Selain mereka, kami turut mengundang bekas Naib Datuk Bandar Seoul Metropolitan Government Choi Jae-Bum dan Byun Ju Young, Ketua Pengarah (Biro Promosi Pelaburan) Incheon City untuk berkongsi pengalaman mereka dengan kita,” katanya.