Bandaraya Sukan baru di Kompleks Sukan Bukit Jalil

Bandaraya Sukan baru di Kompleks Sukan Bukit Jalil

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) – Kompleks Sukan Bukit Jalil bakal berubah menjadi Bandaraya Sukan dengan kemudahan serba canggih, moden dan mudah diselenggarakan menjelang 2020.

Pengarah Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Imran Salim berkata projek bernilai RM1.6 bilion itu akan merangkumi dua fasa untuk meningkatkan kemudahan sedia ada bagi penganjuran Sukan SEA 2017, selain terus menghasilkan pendapatan menerusi kemudahan baharu itu.

“Fasa Satu yang dijadual bermula Januari tahun depan hingga Jun 2017 melibatkan kerja menaik taraf dan mencantikkan Stadium Nasional, Stadium Hoki Nasional dan Pusat Akuatik Nasional sebagai persiapan menganjurkan Sukan SEA, membabitkan kos RM499 juta.

“Ini termasuk menaik taraf sistem pencegahan kebakaran, bilik persalinan, lif dan eskalator, tandas, menggantikan paip air sejuk dan sistem siar raya,” katanya dalam taklimat khas kepada media.