Bandarku Ceria kian dapat sambutan

Bandarku Ceria kian dapat sambutan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Program Bandarku Ceria terus mendapat sambutan daripada orang ramai yang menyambut baik usaha kerajaan yang memberikan keutamaan tinggi terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduk negara untuk memastikan kawasan Bandar Seri Begawan menjadi sebuah bandar yang dinamik, meriah dan unggul.

Sekali lagi, bermula dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi, beberapa batang jalan raya di kawasan Bandar Seri Begawan telah ditutup untuk memberikan laluan jalan-jalan berkenaan digunakan oleh pejalan kaki dan mereka yang ingin untuk berbasikal sahaja serta mengadakan kegiatan riadah sihat bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Media Permata telah membuat tinjauan ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan kawasan sekitarnya yang dipenuhi dengan pelbagai kegiatan riadah dan ceria oleh orang ramai yang sama-sama keluar untuk menyokong Program Bandarku Ceria.

Semasa program itu, pelbagai kegiatan diadakan oleh agensi-agensi kerajaan bagi menyahut seruan inisiatif untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan, membuka peluang kepada peniaga kecil-kecilan (PKS), mengurangkan perlepasan karbon dioksida dan menggalakkan cara hidup sihat.

Salah seorang pengunjung, Haji Sahroni bin Haji Mahmud yang hadir bersama-sama keluarganya berkata bahawa program itu memberikan peluang kepadanya sekeluarga untuk menikmati kegiatan riadah pagi di kawasan bandar dengan selamat dan segar.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi serta para pegawai kanan kerajaan turut menyertai aktiviti berbasikal.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi serta para pegawai kanan kerajaan turut menyertai aktiviti berbasikal.
Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar ketika menyertai senamrobik.
Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar ketika menyertai senamrobik.

Beliau percaya bukan sahaja pelbagai kegiatan yang diadakan dapat memeriahkan lagi suasana bandar pada waktu pagi tetapi ia juga mampu menggalakkan para pengunjung untuk mengamalkan gaya hidup aktif sambil beriadah bersama keluarga mereka.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan harapan agar program itu bukan sahaja dapat diteruskan tetapi juga ditambah dengan lebih banyak aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pengunjung ke Bandar Seri Begawan setiap Ahad.

Antara keluarga yang turut menceriakan Program Bandarku Ceria, kelmarin.
Antara keluarga yang turut menceriakan Program Bandarku Ceria, kelmarin.

Program Bandarku Ceria merupakan hari tanpa kereta yang diadakan setiap Ahad di mana jalan raya ditutup bagi lalu lintas bermula dari jam 6 hingga 10 pagi dan jalan-jalan yang ditutup kira-kira 4 jam setiap Ahad itu ialah Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Stoney, Jalan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Mc Arthur, Jalan James Pearce, Jalan Pemancha, Jalan Elizabeth II dan Jalan Pretty.

Bagi mencapai visi program itu, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui beberapa kementerian dan agensi-agensi serta pihak yang berkenaan telah mengambil inisiatif hari tanpa kereta pada setiap hari Ahad.

Baru-baru ini, Bandar Seri Begawan telah diisytiharkan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN 2016-2017.

Keindahan dan kebudayaan sesebuah bandar itu bukan hanya terletak kepada bangunan-bangunan dan tempat-tempat yang ada di dalamnya, tetapi ia sebenarnya dihidupkan oleh penghuni bandar itu sendiri.

Oleh itu, pengisytiharan Bandar Seri Begawan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN merupakan satu peluang bagi kita menunjukkan amalan gaya hidup kita yang penuh dengan tradisi dan warisan keBruneian ke mata dunia.

ARTIKEL YANG SAMA