Bandarku Ceria terus mendapat respons positif

Bandarku Ceria terus mendapat respons positif

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Sesi Senamrobik sempena Sambutan Bandarku Ceria 2016 anjuran Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kementerian Pendidikan mendapat sambutan meriah, hari ini.

Hadir bagi mengetuai senamrobik berhadapan De Royal Cafe di Bandar Seri Begawan itu pagi tadi ialah Pengarah IBTE, Dr. Chin Wei Keh yang turut disertai oleh guru-guru dan murid-murid sekolah perdagangan.

Aktiviti Bandarku Ceria yang turut disertai Kementerian Perhubungan itu kini telah memasuki minggu ketiga yang diisikan dengan pelbagai aktiviti baru dan menarik bagi memeriahkan lagi Bandar Seri Begawan.

Sesi senamrobik itu merupakan salah satu pengisian inisiatif ‘Bandarku Ceria-Hari Bebas Kereta’ yang diperkenalkan bagi menghidupkan suasana Bandar Seri Begawan dan menjadikannya sebagai bandar bebas kereta setiap hari Ahad.

Salah seorang yang turut memeriahkan acara tersebut Awang Ali Emran ketika ditemui menjelaskan bahawa bermacam-macam aktiviti menarik telah diadakan dalam memeriahkan Bandarku Ceria seperti permainan bola bouncer, papan luncur, berbasikal, senamrobik dan banyak lagi.

Aktiviti senamrobik sempena Program Bandarku Ceria mendapat sambutan yang menggalakkan.
Aktiviti senamrobik sempena Program Bandarku Ceria mendapat sambutan yang menggalakkan.
Aktiviti permainan menangkap ikan menggunakan tisu mendapat sambutan dari kalangan kanak-kanak.
Aktiviti permainan menangkap ikan menggunakan tisu mendapat sambutan dari kalangan kanak-kanak.

“Para peniaga makanan yang menyertai program ini tidak menghampakan pelanggan apabila tampil dengan pelbagai menu yang sedap dan menarik,” ujar Awang Ali.

Usaha kerajaan yang memberikan keutamaan tinggi terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini melalui Program Bandarku Ceria mendapat sambutan daripada orang ramai dalam memastikan kawasan Bandar Seri Begawan menjadi sebuah bandar yang dinamik, meriah dan unggul.

Sekali lagi bermula dari pukul 6 hingga 10 pagi, beberapa batang jalan raya di kawasan Bandar Seri Begawan telah ditutup untuk memberikan laluan kepada pejalan kaki dan mereka yang ingin berbasikal untuk menyertai kegiatan riadah sihat bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Pelbagai aktiviti juga diadakan oleh agensi-agensi kerajaan bagi menyahut inisiatif tersebut untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan, membuka peluang kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengurangkan perlepasan karbon dioksida dan menggalakkan cara hidup sihat.

ARTIKEL YANG SAMA