Banduan wartawan teramai

Banduan wartawan teramai

MESIR, 25 Jun (Reuters) – Mesir sedang menahan jumlah wartawan tertinggi di penjara sejak catatan rekod bermula, menggunakan alasan keselamatan negara untuk bertindak keras ke atas kebebasan berakhbar, kata Jawatankuasa untuk Melindungi Wartawan hari ini.

Satu bancian penjara dijalankan oleh CPJ pada 1 Jun mendapati sekurang-kurangnya 18 wartawan Mesir sedang ditahan di penjara atas sebab-sebab yang berkaitan dengan laporan mereka, yang paling banyak di Mesir sejak CPJ memulakan catatan rekod ke atas wartawan yang dipenjarakan pada 1990.

“Ancaman pemenjaraan di Mesir adalah sebahagian daripada suasana di mana pihak berkuasa memberi tekanan kepada saluran media untuk menapis suara kritikal dan mengeluarkan arahan sekatan ke atas topik sensitif,” kata CPJ dalam satu laporan yang disiarkan hari ini.

Khaled al-Balshy, ketua jawatankuasa kebebasan sindiket akhbar Mesir, berkata jumlah wartawan yang dipenjarakan adalah lebih tinggi, meletaknya melebihi 30. “Kami berada dalam persekitaran paling teruk untuk kewartawanan dalam sejarah Mesir,” kata beliau.

Jumlah tersebut tidak dapat disahkan.

Gambar gabungan wartawan Mesir yang dipenjarakan di negara itu. - Reuters
Gambar gabungan wartawan Mesir yang dipenjarakan di negara itu. – Reuters

CPJ berkata kebanyakan wartawan yang dipenjarakan dituduh oleh kerajaan menjadi anggota Persaudaraan Islam, yang disenaraikan oleh Kaherah sebagai kumpulan pengganas.

Pihak berkuasa berkata Persaudaraan Islam menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara dan mereka menafikan dakwaan penganiayaan. Beberapa wartawan menyangkal dakwaan mengatakan mereka mempunyai hubungan dengan Persaudaraan Islam.

“Jumlah tersebut adalah tidak tepat dan laporan ini adalah tidak objektif,” kata sumber kerajaan, menambah kesemua wartawan yang dipenjarakan menghadapi dakwaan jenayah dan tidak ditahan atas sebab-sebab politik atau kebebasan bersuara.

Enam wartawan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan beberapa orang lain sedang ditahan dalam tahanan sebelum perbicaraan tanpa menetapkan satu tarikh untuk perbicaraan mahkamah,” lapor CPJ.