Bangga dengan kemajuan ABDB

Bangga dengan kemajuan ABDB

Oleh Mohamad Asyramisyanie & Imelda Farrah Zohre HA

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H

 

TUTONG, 31 Mei – Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada setiap 31 Mei merupakan peluang terbaik untuk anak muda mengetahui mengenai ABDB dengan lebih dekat kerana peranannya dalam sejarah dan pembangunan negara ini adalah sangat signifikan.

Perkara ini ditekan oleh Skipper Zack daripada Pengakap Udara Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS) ketika ditemui di bahagian Pameran Statik Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-54 tahun yang berlangsung di Institut Latihan ABDB, Penanjong Garisson, hari ini.

Katanya lagi, selain daripada sebagai pendedahan, acara seperti ini juga menjadi sejarah moden yang boleh dijadikan ristaan kepada generasi selepas mereka suatu hari nanti.

“Dengan adanya sambutan ini, mereka secara langsung akan mendalami sejarah dan peredaran teknologi serta kelengkapan terkini yang dimiliki ABDB yang menjadi tarikan utama kepada golongan pelajar yang berjiwa perwira,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan pendapat bahawa, ABDB perlu memperluaskan lagi program pemberigaan di sekolah seperti membuat jerayawara ke semua sekolah untuk mempertingkatkan lagi kesedaran orang ramai akan perkembangannya.

Babu Hasnah (Kiri) bersama anak-anaknya, Dayang Nadhirah dan Dayang Nazihah.
Babu Hasnah (Kiri) bersama anak-anaknya, Dayang Nadhirah dan Dayang Nazihah.

Menurutnya, tanggapan kerjaya askar sebagai kerja pilihan terakhir perlu dikikis kerana jika dilihat kini, pembangunan dan profesionalisme ABDB menunjukkan perkembangan yang menggalakkan dan ia perlu dijadikan pilihan utama kepada bekas graduan untuk dijadikan karier yang menjamin masa depan

Perkara itu turut dipersetujui seorang lagi pengunjung yang merupakan bekas anggota ABDB, kira-kira 20 tahun lalu, Awang Muhd Noorfadzil bin Abdullah yang menekankan bahawa banyak kelebihan yang diberikan terutama daripada aspek pencen dan kemudahan lain yang menjadikan ia (anggota tentera) sebagai pekerjaan yang ideal

Bekas Anggota Platun Semboyan, yang berasal dari Kuala Belait itu berkata ABDB menunjukkan perkembangan yang menggalakkan, baik daripada kelengkapan seperti senjata dan peralatan yang terkini dan ini sangat memuaskan.

“Kami sangat bangga dengan kemajuan ini, kerana jika dilihat pada tahun 1989 hingga 2009 dahulu, ABDB menunjukkan kematangan yang sangat ketara dan begitu juga daripada aspek perkembangan berbanding suatu ketika dahulu,” ujarnya lagi.

Ditanya, jika diberikan keajaiban untuk mengulang semula usia mudanya adakah beliau akan memilih ABDB sebagai karier, beliau dengan yakin berkata; “Demi raja, bangsa, agama dan negara saya rela.”

Seorang lagi bekas anggota ABDB 25 tahun lalu, Awang Mohd Taib bin Haji Basri berkata bahawa belia perlu menjadikan karier ketenteraan sebagai kerja paling utama.

Awang Mohd Taib berkata belia perlu menjadikan karier ketenteraan sebagai kerja yang paling utama.
Awang Mohd Taib berkata belia perlu menjadikan karier ketenteraan sebagai kerja yang paling utama.
Tanggapan kerjaya sebagai seorang askar sebagai kerja pilihan terakhir perlu dikikis, ujar Skipper Zack.
Tanggapan kerjaya sebagai seorang askar sebagai kerja pilihan terakhir perlu dikikis, ujar Skipper Zack.
Awang Muhd Noorfadzil berkata ABDB telah menunjukkan perkembangan yang menggalakkan.
Awang Muhd Noorfadzil berkata ABDB telah menunjukkan perkembangan yang menggalakkan.

“Kita bukan sahaja berbakti kepada negara malah bangsa, agama dan raja dan yang paling penting kepada keluarga kita yang cintai.”

Beliau mengesyorkan anak-anak muda merebut peluang dan menyambut cabaran untuk berbakti kepada negara dan bangsa kerana pekerjaan mencabar ini bukan sahaja baik untuk pembangunan kewangan sahaja malah kepada pembentukan sahsiah seorang warga Brunei yang cinta akan negara, ujar beliau yang tidak pernah tertinggal untuk melihat perkembangan sambutan hari ulang tahun ABDB.

Menurutnya, setiap tahun sambutan menunjukkan pembaharuan yang menggalakkan dan suasananya pada masa kini jauh lebih meriah.

Sementara itu, seorang ibu kepada rekrut ABDB, Babu Hasnah pula menyatakan sokongan kepada anak-anaknya yang suka menyertai ABDB.

Ketika ditemui, beliau berkata ketenteraan adalah satu pekerjaan murni yang menjuruskan kepada perkembangan disiplin dalaman diri yang jelas ketara.

Dua anak perempuannya, Dayang Nadhirah dan Dayang Nazihah binti Mohammad pula memberitahu mereka kini menunggu pengambilan askar wanita.

“Kami bangga kerana adanya ahli keluarga yang menyertai ABDB dan ia menambahkan minat kami untuk menyertai ABDB jika diberikan peluang suatu masa nanti,” ujar mereka.

ARTIKEL YANG SAMA