Bangga dengan penderma kita

Bangga dengan penderma kita

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Seramai 11,298 penderma dicatatkan pada tahun 2014 di Daerah Brunei dan Muara yang menderma secara sukarela dan daripada jumlah tersebut, seramai 3,636 orang adalah terdiri daripada penderma baru.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 27.3 peratus berbanding seramai 2,857 orang penderma baru pada tahun 2013.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof berkata peningkatan ini merupakan hasil daripada pengenalan kriteria-kriteria baru yang diperkenalkan pada tahun lalu (2014) bagi penderma baru, termasuk yang berusia sekurang-kurangnya 17 tahun berbanding 18 tahun sebelumnya.

“Kriteria berat badan juga telah dikurangkan daripada 50kg ke atas kepada 45 ke atas. Kekerapan menderma juga telah dikurangkan daripada tiga bulan kepada dua bulan,” jelasnya.

Yang Berhormat Pehin mengongsikan statistik ini ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Hari Keluarga Penderma Darah dan Kempen Derma Darah Besar-Besaran sempena Hari Penderma Darah 2015 yang berlangsung di Dewan Al’Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

Yang Berhormat Pehin ketika melancarkan acara walkaton.
Yang Berhormat Pehin ketika melancarkan acara walkaton.
Tetamu kehormat majlis bersama hadirin melakukan aktiviti berzumba.
Tetamu kehormat majlis bersama hadirin melakukan aktiviti berzumba.

Beliau turut menyatakan bahawa, sebanyak 15,130 kutipan darah telah diadakan pada tahun 2014, yang mana berbanding pada tahun 2013 ia menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan sebanyak 6.1 peratus.

Di Negara Brunei Darussalam kadar pendermaan darah bagi setiap 1,000 orang ialah sebanyak 34.8 kutipan, berbanding dengan kadar yang direkodkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mana kadar-kadar kutipan di negara berpendapatan tinggi ialah 36.8 kutipan bagi setiap 1,000 orang.

“Manakala itu, 11.7 kutipan bagi negara-negara berpendapatan sederhana dan 3.9 kutipan bagi negara-negara berpendapatan rendah. Ini menunjukkan kadar kutipan darah di negara ini adalah hampir sama dengan kadar kutipan di negara-negara berpendapatan tinggi,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin juga mengongsikan bahawa mengikut laporan daripada WHO sebanyak 60 buah negara di dunia ini yang dikategorikan sebagai 100 peratus pendermaan darah merupakan penderma sukarela termasuk Negara Brunei Darussalam.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada abiskita semua kerana negara kita diiktiraf sebagai salah satu negara yang dikategorikan pendermaan darah secara sukarela 100 peratus,” katanya lagi.

Para hadirin yang turut serta dalam aktiviti berzumba.
Para hadirin yang turut serta dalam aktiviti berzumba.
Orang ramai yang turut serta dalam acara walkaton.
Orang ramai yang turut serta dalam acara walkaton.

Menteri Kesihatan turut menyatakan harapan supaya lebih ramai lagi orang ramai khususnya dalam kalangan belia untuk tampil bagi meningkatkan lagi jumlah penderma darah di negara ini bagi memastikan kadar penderma darah bagi setiap 1000 orang penduduk pada masa ini, sekurang-kurangnya akan setanding dan lebih baik dalam kalangan negara-negara yang berpendapatan tinggi secara global.

“Melihat trend kesedaran menderma darah adalah semakin bertambah di negara ini, Insya Allah saya penuh berkeyakinan dan percaya kita akan dapat mencapai hasrat tersebut di masa yang terdekat,” tekannya.

Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Pehin turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada para penaja dan wakil-wakil sukarelawan yang menyertai aktiviti-aktiviti pada acara berkenaan, sebelum bersama-sama menyertai aktiviti Zumba dan walkaton.

Hari keluarga berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan permainan termasuk gerai jualan, jualan Car Boot, pameran reptilia, rumah hantu, flying fox, menunggang kuda, melukis muka dan inai, pertandingan melukis, Spelling Bee dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA