Bangga dengan Pesta Kaamatan

Bangga dengan Pesta Kaamatan

KOTA BELUD, 3 Jun – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata rakyat Sabah khususnya kaum Kadazandusun dan Murut perlu berbangga dengan Pesta Kaamatan kerana ia merupakan perayaan kebudayaan yang asli, unik dan membawa wadah perpaduan.

Beliau berkata selain hanya terdapat di Sabah, Pesta Kaamatan mesti diraikan kerana ia membawa pelbagai mesej positif untuk rakyat keseluruhannya.

“Kita di Sabah mesti merayakan Pesta Kaamatan ini kerana ia ada matlamat. Matlamatnya ialah supaya kita bersyukur dengan rezeki yang kita dapat kerana kita bekerja kuat di bumi yang bertuah ini,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pesta Kaamatan anjuran gabungan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Dewan Undangan Negeri Kadamaian hari ini.

Menurutnya Pesta Kaamatan juga memberi rakyat peluang untuk saling kunjung mengunjungi, yang merupakan wadah ke arah mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (empat, kanan) turut menuai padi bersama anggota jawatankuasa tertinggi penganjur sebagai tanda simbolik perasmian sambutan Pesta Kaamatan, di Dewan Serbaguna Kampung Piasau. – Bernama
Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (empat, kanan) turut menuai padi bersama anggota jawatankuasa tertinggi penganjur sebagai tanda simbolik perasmian sambutan Pesta Kaamatan, di Dewan Serbaguna Kampung Piasau. – Bernama

“Semasa pertemuan itu, katanya mereka boleh saling bertukar-tukar fikiran dan berkongsi maklumat, sekali gus merancang masa depan demi kejayaan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Salleh berkata Pesta Kaa-matan kini menjadi pesta kebudayaan yang diiktiraf di peringkat kebangsaan berbanding dahulu yang hanya diraikan di peringkat kampung, daerah dan negeri.

“Pesta Kaamatan peringkat kebangsaan tahun ini disambut di Kuala Lumpur. Maknanya Pesta Kaamatan sudah diiktiraf di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Salleh berkata satu daripada cara untuk memperkenalkan kebudayaan rakyat Sabah kepada pihak lain ialah dengan membawanya keluar dari negeri ini.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa penganjur Jimmy Barukan berkata pesta itu dapat menghimpunkan ketua-ketua masyarakat di Kadamaian walaupun berdepan cabaran geografi.

“Pesta Kaamatan kali ini berjaya mengumpulkan hampir 80 peratus pengerusi JKKK DUN Kadamaian,” katanya. – Bernama