Bangga terpilih menjadi pengadil luar negara

Bangga terpilih menjadi pengadil luar negara

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Awang Asmawi Sulaiman berasa bangga dan tidak menjangka apabila pihak Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam menamakannya sebagai salah seorang pengadil yang bakal bertugas dalam Kejohanan Bola Jaring Asia ke-10 yang akan diadakan di Thailand pada akhir Julai dan awal Ogos nanti.

Walau bagaimanapun, untuk menjadikannya satu realiti, Awang Asmawi perlu menjalani kursus pengadilan sukan bola jaring yang akan diadakan di Singapura bagi mendapatkan Lencana C pengadilan sebelum kejohanan bermula.

Beliau yang juga merupakan Bendahari I, Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam menyatakan bahawa kursus berkenaan adalah satu perkembangan yang positif kerana selama ini semua pengadil kebangsaan bersandarkan kepada bimbingan persatuan bagi memberikan kemahiran dan pengetahuan asas pengadilan sukan bola jaring.

“Saya akan mewakili negara buat kali pertama untuk menyertai kursus ini dan sememangnya saya berhasrat untuk menaikkan lagi tahap kemahiran bagi mendapatkan Lencana B dan Lencana A pada masa akan datang,” ujar Awang Asmawi.

Ditanya mengenai sasarannya dalam kursus itu nanti, beliau menegaskan akan menimba sebanyak mungkin pengalaman dan ilmu sukan bola jaring kerana ia adalah selaras dengan hasrat mana-mana persatuan di negara ini untuk melahirkan barisan pengadil sukan yang berkaliber dan bertauliah.

Awang Asmawi ketika ditemui baru-baru ini.
Awang Asmawi ketika ditemui baru-baru ini.

“Saya akan menggunakan peluang ini untuk membantu sukan bola jaring negara dan akan menyalurkan pengetahuan yang diperoleh kepada generasi pengadil negara dalam memastikan setiap pemain diadili mengikut garis pandu dan peraturan bola jaring antarabangsa,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam kejohanan Asia nanti, beliau amat komited untuk menimba pengalaman yang sangat berguna daripada barisan pengadil lain dari seluruh Asia yang bakal menjalankan tanggungjawab masing-masing nanti.

“Peluang seperti ini adalah peluang terbaik untuk belajar lebih banyak lagi aspek pengadilan sukan bola jaring yang boleh diadaptasikan di negara ini dan tawaran pihak Persatuan Bola Jaring Singapura ini tepat pada masanya bagi memperkembangkan lagi kemahiran pengadilan serantau,” tegas Awang Asmawi.

Menurutnya, sebelum ini pengetahuan dan aspek pengadilan dibimbing sepenuhnya oleh pihak persatuan dan kursus ini pasti akan mendedahkan para peserta kepada pelbagai corak permainan dan pengalaman dan ia akan dikongsi bersama persatuan juga.

“Apa yang penting dalam bidang ini adalah kecergasan sebagai salah satu aspek yang dinilai dan diuji dan saya berhasrat untuk bekerja keras untuk meningkatkan dirinya bagi mencapai ke tahap Lencana B dan Lencana A namun ia masih dalam perancangan meskipun ia sangat perlu yang bukan sahaja untuk saya sendiri malah kepada rakan pengadil yang lain,” tambahnya.

Beliau menyatakan harapan untuk melihat sukan bola jaring akan terus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dan katanya sukan bola jaring setakat ini berjaya menarik minat banyak pemain muda sebagai pelapis pada masa akan datang.

“Mereka ini juga perlu diberikan pendedahan bagi memastikan corak permainan pasukan negara lebih tajam di arena antarabangsa melalui pengadilan yang diiktiraf persatuan bola jaring antarabangsa,” ujarnya dengan tegas.

Beliau menambah, “Kita mempunyai jurulatih yang bagus dan menepati corak permainan yang bertaraf dunia dan bagi barisan pemain yang bakal membawa nama negara di kejohanan Asia nanti saya ucapkan selamat berjaya.”

Menurutnya, beliau berharap supaya semua pemain akan dapat menunjukkan komitmen dan prestasi serta disiplin yang terbaik daripada aspek fizikal dan kecergasan baik di dalam mahupun di luar gelanggang bagi memastikan kejayaan di pihak kita.