Bangkai pesawat 41 tahun ditemui

Bangkai pesawat 41 tahun ditemui

NICOSIA, 7 Ogos (Agensi) – Tentera Cyprus percaya menemui bangkai pesawat tentera Greece yang terhempas 41 tahun tertimbus berhampiran memorial perang di pinggir ibu negeri, Nicosia.

Penemuan serpihan logam itu memberi harapan sisa mayat 19 askar akan ditemui di dalam bangkai pesawat seterusnya dibawa pulang kepada keluarga masing-masing.

Pesawat pengangkutan tentera Greece Nord Noratlas itu ditembak secara tidak sengaja ketika awal serangan Turki di pulau itu pada 1974. Hanya seorang daripada 32 yang menaiki pesawat itu terselamat dengan 12 mayat ditemui dan dikenal pasti namun 19 gagal dikesan.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Kemanusiaan Cyprus Fotis Fotiou berkata: “Penemuan awal positif menunjukkan itu pesawatnya. Saya berjanji kepada keluarga terbabit kami akan melakukan apa saja yang terdaya untuk menyatukan mereka dengan mayat mangsa bagi membolehkan pengebumian mengikut adat dan agama dilaksanakan.”

Katanya, usaha lebih mendalam akan dimulakan minggu depan dengan bantuan pakar dari Kanada, Australia dan Belanda berikutan ada risiko bangkai pesawat mengandungi bahan letupan dan peluru.

Noratlas terhempas berhampiran lapangan terbang Nicosia pada awal pagi 22 Julai 1974 selepas tentera Cyprus menyangka ia usaha mendarat oleh tentera Turki. Ia antara 13 pesawat dari Greece yang dikerahkan bagi membantu mempertahankan Cyprus daripada serangan Turki.