Bangkai pesawat ditemui 50 tahun selepas terhempas

Bangkai pesawat ditemui 50 tahun selepas terhempas

BUENOS AIRES, 8 April (Bernama) – Setengah abad selepas terhempas di selatan Argentina, bangkai sebuah pesawat enjin berkembar Piper Apache ditemui bersama empat mayat di dalamnya, lapor agensi berita China, Xinhua, yang memetik laporan Agensi Berita Nasional Argentina, DyN pada Khamis.

Mereka yang berada dalam pesawat itu ketika kejadian ialah juruterbang, ketua jurutera syarikat Pan American Argentina Oil Co iaitu Miguel Sanchez Navarro dan dua jurutera.

Pada 19 Okt 1964, pesawat itu terhempas di Tasik Colhue Huapi di selatan wilayah Chubut. Usaha mencari dan menyelamat yang dilakukan pada 1964 dan 1980 bagaimanapun gagal mengesan apa-apa.

Bangkai pesawat itu ditemui pada Isnin apabila seorang lelaki tempatan ‘nampak sayap kapal terbang terkeluar dari dalam tanah manakala bahagian lain masih tertanam,’ lapor DyN.

Pasukan yang ditugas mengeluarkan bangkai itu berkata sebahagian air di dalam tasik berkenaan menyejat dan mendedahkan bahagian badan pesawat yang masih ada.