Bangkit dari kekalahan

Bangkit dari kekalahan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Juara sepak takraw sekolah rendah bagi kawasan Brunei I menjadi milik Sekolah Rendah (SR) Datu Ahmad selepas kebangkitan menarik tewas set pertama dan kemudiannya menang set kedua dan penentuan ke atas SR Sungai Siamas.

Pada aksi perlawanan akhir di Sekolah Sukan itu, SR Sungai Siamas bermula hebat apabila menundukkan SR Datu Ahmad 15-4 pada set pertama tetapi ketua pasukan SR Datu Ahmad, Hazmi Isamuddin bin Eddey Suhardy selaku tekong mula melakukan servis-servis hebat bagi membantu pasukannya menang 15-9 dan 15-11 di dua set terakhir.

Kecemerlangan Hazmi Isamuddin yang berusia 11 tahun itu sekaligus membolehkannya terpilih untuk menerima Anugerah Pemain Terbaik Kejohanan Sepak Takraw Sekolah-Sekolah Rendah Kawasan Brunei I, 2016 berkenaan.

Juara Sepak Takraw Sekolah Rendah Kawasan Brunei I, SR Datu Ahmad bersama Pengiran Jusri (tujuh kiri) dan AJK Pengendali Kejohanan.
Juara Sepak Takraw Sekolah Rendah Kawasan Brunei I, SR Datu Ahmad bersama Pengiran Jusri (tujuh kiri) dan AJK Pengendali Kejohanan.

SR Pehin Dato Jamil pula berpuas hati memenangi tempat ketiga setelah menang straight set 15-12 dan 15-4 ke atas SR Pintu Malim dalam perlawanan penentuan tempat ketiga yang berlangsung sebelum perlawanan akhir bermula.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Unit Jasmani, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Pengiran Jusri bin Pengiran Haji Hassim, sambil diiringi Guru Besar SR Datu Ahmad, Markus bin Dawat selaku Pengerusi AJK Kejohanan berkenaan.

Kejohanan adalah anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan untuk kawasan Brunei I ini ia telah dikendalikan oleh SR Datu Ahmad.