‘Bangkit daripada kegagalan dan motivasikan diri sendiri’

‘Bangkit daripada kegagalan dan motivasikan diri sendiri’

Oleh Imelda Groves HA & Mohammad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – “Pada saya, kejayaan bukan tertakluk kepada apa yang saya miliki sekarang, kerana ia akan terus saya perkembangkan lagi ke peringkat seterusnya tanpa henti. Kejayaan adalah apabila saya berjaya untuk terus memberi inspirasi dan motivasi kepada generasi muda.”

Ini ditekankan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DC13 Development, Singapura, Datuk David Cheang, DIMS semasa mengongsikan kejayaannya setelah mengalami kegagalan dalam meniti realiti kehidupan pada sesi Forum Pembangunan Perniagaan Tempatan yang berlangsung di Hotel Radisson Brunei, di sini, hari ini.

Semasa membuat pembentangan bertajuk “Bangkit daripada Kegagalan: Satu Kajian Kes dalam Penciptaan Semula dan Transformasi” semasa forum itu, beliau berkata walau berkali-kali merasa diri jatuh tersungkur dalam kehidupan tidak bererti kegagalan akan berterusan hingga ke akhirnya jika tidak membuat keputusan untuk berdiri kembali sambil berusaha untuk sentiasa fokus.

Menceritakan zaman kanak-kanak, katanya, beliau mengalami masalah percakapan dan merasakan dirinya bersendirian, kurang berkeyakinan dan terpaksa menghadapi pelbagai masalah berkomunikasi yang menyebabkannya mula hilang fokus dalam pembelajaran dan mendapat keputusan yang merosot.

Oleh itu, beliau mula sedar dan perlu berusaha untuk membuat yang terbaik untuk diri sendiri dengan dedikasi dan latihan yang berterusan selama beberapa tahun sehingga berjaya mengatasi masalah percakapan dan terus meningkat dalam bidang akademik serta dianugerahkan kohort teratas semasa belajar di menengah 4.

Datuk David mengongsikan kisah kehidupannya dalam pembentangan bertajuk “Bangkit daripada Kegagalan: Satu Kajian Kes dalam Penciptaan Semula dan Transformasi”.
Datuk David mengongsikan kisah kehidupannya dalam pembentangan bertajuk “Bangkit daripada Kegagalan: Satu Kajian Kes dalam Penciptaan Semula dan Transformasi”.

“Semua itu kerana latihan berulang dan menjadi amalan, menjadikannya sempurna. Itulah yang saya lakukan mengatasi masalah percakapan saya dengan melatih diri sendiri setiap hari tanpa jemu untuk mendapatkan kehidupan saya,” ujarnya.

Masalah hidup tidak terhenti di situ, ketika orang mula menyangka kehidupannya dalam landasan yang betul, beliau sekali lagi ditimpa masalah besar ketika menjadi penjamin kepada ibu bapanya ketika berusia 21 tahun.

“Perniagaan ibu bapa saya terjejas berikutan krisis kewangan Asia pada 1997. Disebabkan hutang yang bertimbun, ibu bapa saya mengalami masalah kewangan dan saya sebagai penjamin akhirnya disahkan muflis,” ujarnya yang menyatakan bermulalah kejatuhan teruk dalam kehidupannya.

Beliau berdepan kesukaran memperoleh kewangan walaupun hanya untuk keperluan asasi, sehingga beliau tidak dibenarkan untuk memiliki nombor telefon yang berdaftar atas namanya.

“Melihat tiada harapan, ayah dan ibu saya yang tidak terdaya walaupun sentiasa berfikiran positif, di sinilah timbulnya tanggungjawab saya sebagai anak sulung dengan mula berfikir akan tanggungjawab sosial dan alasan kenapa saya perlu bangkit dan meneruskan kehidupan yang selesa,” tekan beliau yang mengambil alih perniagaan barangan elektrik ayahnya.

Beliau mencari alasan setiap hari untuk berubah dan berbakti kepada negara, masyarakat dan syarikat, disertai dengan usaha dan kerja keras dengan melakukan apa yang tidak dilakukan oleh orang lain.

Di samping kerjasama dengan mana-mana pihak dan tidak menganggapnya sebagai persaingan, serta memiliki visi yang jelas dengan mengelakkan daripada gangguan dan mengalih fokus.

“Saya akan menghantar SMS kepada diri saya sendiri atau menulis sesuatu di telapak tangan saya untuk terus fokus kepada impian yang hendak saya capai. Saya perlu melatih diri saya sentiasa fokus dan terus fokus,” tambahnya.

Selain daripada berfikiran positif dan sentiasa memotivasikan diri, Dato David mencapai kejayaan dengan penuh semangat dan menyelesaikan setiap isu yang cuba menghalang.

Berikutan kejayaannya itu, beliau menerima pelbagai anugerah penting setiap tahun semasa menjadi ejen sambilan di Dennis Wee Group diikuti dengan pelbagai kejayaan lain, sehingga beliau menemukan rakan kongsi untuk memulakan perniagaan hartanah yang satu ketika dulu pernah muflis.

“Saya melabur pada hartanah sama yang pernah dimiliki dalam perniagaan ibu bapa saya, reka bentuk yang sama cuma tempat yang berlainan dan ia mula berkembang dan semakin berkembang sehingga kini,” kongsi beliau lagi.

Beliau yang digelar sebagai guru hartanah dalam bidang pemasaran memberikan inspirasi kepada ramai orang dan beliau ingin terus memberikan inspirasi dan motivasi kepada belia muda untuk terus fokus.

ARTIKEL YANG SAMA