Bangkok Airways johan bola sepak tujuh sebelah

Bangkok Airways johan bola sepak tujuh sebelah

MIRI, 4 Mei (Bernama) – Pasukan dari Thailand, Bangkok Airways muncul juara bagi kedua-dua kategori Masters dan Veteran ‘1st Miri International Seahorse 7’s Soccer Challenge’ di Padang Majlis Perbandaran Miri di sini, semalam.

Pasukan Bangkok Airways Veteran meraih gelaran tersebut selepas mengumpul 16 mata dengan mencatatkan lima kemenangan dan satu seri pada kejohanan yang diadakan secara liga itu.

Ketua pasukan Bangkok Airways Veteran, Viroj Pontthanatinith, yang masih aktif dalam sukan paling popular itu berkata memenangi kejohanan pada hari ini merupakan detik yang sangat istimewa baginya pada usia 61 tahun.

“Kami berasa gembira menjadi johan untuk kedua-dua kategori. Perkara penting bagi kami bukannya kemenangan, tetapi untuk mendapatkan lebih banyak kawan, meluangkan masa dengan waras dan kekal sihat.

Ini kunjungan kedua saya ke Miri, bandar yang menawarkan keindahan alam dan kebaikan penduduknya,” katanya.

Sementara itu, pasukan Bangkok Airways Masters yang mengumpul 15 mata dengan keputusan lima kemenangan dan satu kekalahan, menjuarai kategori Masters.

Pasukan dari Brunei, Terazza FC muncul naib juara bagi kategori Veteran, manakala dalam kategori Masters pula, pasukan dari Miri, Landas Landmasters muncul naib juara.

Bagi kategori Masters, ia dibuka kepada individu berumur 40 tahun ke atas, manakala kategori Veteran, 45 tahun ke atas.

ARTIKEL YANG SAMA