Bangkok perketat keselamatan ekoran serangan bom di Jakarta

Bangkok perketat keselamatan ekoran serangan bom di Jakarta

BANGKOK, 14 Jan (Bernama) – Langkah-langkah keselamatan di sini akan diperketatkan susulan beberapa siri letupan bom dan insiden tembak-menembak yang menggegarkan Jakarta hari ini, mengakibatkan tujuh orang terkorban.

Dalam respons segera terhadap insiden serangan bom di ibu negara Indonesia itu, Timbalan Ketua Polis Nasional Thailand Srivara Rangsipramanakul mengarahkan supaya langkah keselamatan di dalam dan sekitar Bangkok diperketatkan.

“Saya telahpun mengarahkan pihak berkuasa sentiasa bersiap siaga dan memperketatkan kawalan keselamatan di pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (di Bangkok),” kata beliau ketika ditemui Bernama.

Sementara itu, Komander Bahagian Jenayah Terancang Polis Mejar Jeneral Chayapol Chatchaidet berkata agensi keselamatan yang lain juga diminta bekerjasama untuk memperketatkan langkah keselamatan di beberapa kawasan selain terhadap tokoh utama negara.

Tujuh orang disahkan terkorban dalam insiden terbabit, iaitu lima penjenayah serangan dan dua orang awam, termasuk seorang warga asing.

Selain itu, 13 orang lagi dilaporkan parah termasuk lima anggota polis.

ARTIKEL YANG SAMA