Bangkok teruskan rundingan dengan militan

Bangkok teruskan rundingan dengan militan

BANGKOK, 3 Mei (Bernama) – Bangkok akan terus berunding dengan kumpulan-kumpulan militan di selatan Thai dalam usaha mewujudkan keamanan yang berkekalan di wilayah itu walaupun kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai aspek utama rundingan semasa pertemuan di Kuala Lumpur minggu lepas.

Ketua panel rundingan kerajaan ke rundingan damai, Jen Aksara Kerdphol berkata, rundingan damai antara kerajaan dan kumpulan militan ialah satu-satunya opsyen bagi menangani masalah di selatan Thai.

“Setiap kali apabila saya kembali dari rundingan damai, Saya sentiasa melaporkan kepada Perdana Menteri (Jen Prayuth Chan-o-cha), yang memberitahu saya bahawa rundingan (damai) perlu diteruskan tetapi ia memerlukan masa.”

“Jika kita tidak meneruskan rundingan (damai) (dengan militan), apakah penyelesaian masih ada untuk menangani masalah (di selatan Thai),” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi telefon baru-baru ini.

Beliau menjawab cadangan oleh media tempatan di sini bahawa rundingan damai yang Malaysia bertindak sebagai fasilitator akan dihentikan selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai Terma Rujukan (TOR) bagi rundingan damai.

Minggu lepas, wakil daripada kerajaan dan Mara Patani, sebuah kumpulan militan di selatan Thai, bertemu di Kuala Lumpur tetapi gagal mencapai apa-apa kemajuan dalam rundingan damai.

Menurut Aksara, kedua-dua pihak masih menghadapi percanggahan besar mengenai beberapa isu utama dalam rundingan damai dan perlu menyelesaikannya sebelum rundingan damai dapat mencapai kemajuan dalam peringkat seterusnya.