Bangladesh rancang pindah Rohingya ke pulau terpencil

DHAKA, 12 Sept – Beribu-ribu pelarian Islam Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar dalam usaha mendapatkan perlindungan mungkin dipaksa mendirikan rumah baru mereka di sebuah pulau Bangladesh yang banjir setiap tahun.

Kerajaan Bangladesh telah merayu sokongan antarabangsa untuk memindah Rohingya ke pulau tersebut tatkala negara miskin itu menghadapi krisis yang meningkat berhubung di mana untuk menempatkan kemasukan pelarian yang telah meningkat ekoran tindakan keras tentera di negeri Rakhine, Myanmar.

Lebih 300,000 Rohingya telah membanjiri Bangladesh sejak meletusnya keganasan terbaru pada 25 Ogos, menambah kepada kira-kira 300,000 pelarian yang telahpun tinggal di kem sesak yang dikendalikan oleh PBB di daerah Cox’s Bazar, berhampiran dengan sempadan Myanmar.

Pertambahan pelarian telah mengejutkan pihak berkuasa Bangladesh, yang bergegas mencari tanah untuk membina lebih banyak kem, termasuk di pulau Thengar Char yang tidak dapat dihuni, baru-baru ini dinamakan semula Bhashan Char, meskipun keberatan daripada pemimpin Rohingya dan pegawai PBB.

Bhashan Char, terletak di muara sungai Meghna, mengambil perjalanan bot satu jam dari Sandwip, pulau dihuni terdekat, dan dua jam dari Hatiya, salah sebuah pulau terbesar di Bangladesh.

Pihak berkuasa pertama mencadangkan untuk menempatkan pelarian Rohingya di sana pada 2015, apabila kem di Cox’s Bazar menjadi sesak dengan ketibaan baru.

Namun rancangan tersebut jelasnya dibatalkan pada tahun lalu di tengah laporan mengatakan pulau kelodak itu, yang hanya timbul daripada laut pada tahun 2006, tidak dapat dihuni disebabkan selalu dibanjiri. Kerajaan berusaha mencari lebih banyak ruang untuk Rohingya, termasuk mendirikan kem baru seluas 2,000 ekar berhampiran Cox’s Bazar, berhampiran dengan sempadan Myanmar, yang akan menempatkan kira-kira 250,000 Rohingya.

Perdana Menteri Sheikh Hasina akan melawat tapak pembinaan tersebut hari ini.

Bagaimanapun, perhijrahan meningkat, timbulnya kebimbangan ia mungkin tidak mencukupi untuk menampung kesemua mereka yang memerlukan perlindungan.

Akibatnya, Bangladesh mempercepatkan kerja-kerja di Bhashan Char dengan tujuan membina pusat seluas 10,000 ekar yang boleh menempatkan ratusan ribu Rohingya. – AFP