Bangladesh sambut Hari Kemenangan ke-45

Bangladesh sambut Hari Kemenangan ke-45

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Dis – Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah meraikan Hari Kemenangan Bangladesh ke-45 tahun yang berlangsung di bangunan suruhanjaya berkenaan di Kampung Sungai Akar.

Majlis tersebut dimulakan dengan upacara menaikkan bendera kebangsaan Bangladesh yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdul Hye, sambil diiringi dengan lagu kebangsaan Bangladesh, ‘Amar Sonar Bangla’.

Hadir sama bagi memeriahkan majlis tersebut ialah warga Bangladesh yang tinggal dan bekerja di negara ini serta ahli keluarga mereka.

Pada majlis itu, TYT Mohammed Abdul Hye turut menyampaikan perutusan daripada Presiden Bangladesh dan juga Menteri Luar Bangladesh.

Upacara menaikkan bendera oleh TYT Mohammed Abdul Hye.
Upacara menaikkan bendera oleh TYT Mohammed Abdul Hye.

Brunei Darussalam dan Bangladesh telah menikmati hubungan yang baik dan mesra serta persefahaman dan kerjasama yang luas melalui hubungan diplomatik.

Bidang kerjasama itu terus dipertingkatkan lagi dalam beberapa bidang lain antaranya bidang perdagangan, pelaburan dan pertanian untuk dinikmati bersama.

Dasar luar kedua-dua buah negara pula mempunyai banyak persamaan termasuklah pandangan kerjasama dalam hal-hal kepentingan serantau dan antarabangsa, menjamin keamanan, kestabilan dan pembangunan serta saling bekerja rapat antara satu dengan yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA