Bangladesh usir diplomat Korea U berhubung rokok seludup

Bangladesh usir diplomat Korea U berhubung rokok seludup

DHAKA, 8 Ogos – Bangladesh telah mengusir seorang diplomat Korea Utara selepas dia ditangkap menyeludup lebih satu juta rokok serta rokok elektronik masuk ke negara itu dalam sebuah kontena perkapalan, kata para pegawai Dhaka hari ini.

Han Son Ik, setiausaha pertama kedutaan Korea Utara di Dhaka, telah diarahkan untuk meninggalkan negara itu selepas gagal untuk mengumumkan barangan bernilai hampir setengah juta dolar kepada kastam.

Setiausaha luar negeri Bangladesh, Shahidul Haque mengesahkan arahan itu telah dilakukan kepada warga Korea Utara, namun enggan untuk memberi jadual waktu bagi pelepasannya. Media tempatan berkata dia telah diarahkan untuk meninggalkan negara itu hari ini.

“Kami telah meminta Korea Utara untuk mengambilnya semula kerana mencabul norma-norma diplomatik,” kata birokrat asing tertinggi Bangladesh, Haque, memberitahu AFP, enggan untuk memberi butiran selanjutnya.

Seorang pegawai kastam kanan memberitahu AFP, Korea Utara menggunakan imuniti diplomatik pada awal bulan ini untuk mengimport barangan yang disyaki untuk pasaran gelap.

“Diplomat mengumumkan bahawa kargonya mengandungi makanan dan minuman ringan. Namun apabila kami membuka kargo, kami menemui 1.6 juta bungkusan rokok dan rokok elektronik,” kata ketua perisikan di kastam Bangladesh, Moinul Khan, kepada AFP.

“Pada harga pasaran, produk-produk ini bernilai sekitar 35 juta taka (AS$430,000). Kami mensyaki yang dia membawa produk-produk ini untuk dijual kepada geng penyeludupan,” katanya.

AFP tidak dapat menghubungi kedutaan Korea Utara untuk mendapatkan komen. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA