Bangsa, agama tidak pernah jadi isu di Sarawak

Bangsa, agama tidak pernah jadi isu di Sarawak

BAU, 26 Julai (Bernama) – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata beliau berbangga menjadi ketua menteri negeri ini, di mana bangsa dan agama tidak pernah menjadi isu di kalangan rakyatnya.

“Malah, perbezaan politik pun tidak boleh memecahbelahkan kami. Lihatlah, kita ada orang daripada SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak), UPP (Parti Rakyat Bersatu), SPDP (Parti Demokratik Progresif Sarawak) dan Teras (Parti Tenaga Rakyat Sarawak) yang boleh hadir beramai-ramai ke majlis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Raya di Dewan Sivik Bau di sini hari ini.

UPP dan Teras maing-masing adalah parti serpihan daripada SUPP dan SPDP, yang mesra dengan Barisan Nasional (BN).

Adenan berkata beliau gembira kerana walaupun berbalah dan bergaduh dalam politik, mereka mampu mengetepikan politik untuk duduk bersama-sama, yang tidak banyak pihak lain (negeri dan parti) boleh berbuat begitu.

“Sarawak perlu memastikan ikatan perpaduan sentiasa kukuh kerana itulah caranya untuk memelihara keselamatan dan kedaulatan negeri ini dan negara,” katanya.

Bagaimanapun, perkara paling menarik pada majlis itu ialah apabila isteri Adenan, Puan Sri Jamilah Anu, naik ke pentas untuk berucap dalam dialek Hakka.

“Saya nampak banyak kawan dan mereka yang saya kenali berada di sini, saya gembira kerana dapat kembali ke sini pada musim perayaan ini.

“Saya mendapati penduduk di sini tetap bersatu serta hidup dengan aman di bandar kecil ini seperti dahulu juga,” katanya dalam dialek Hakka yang fasih.

Bau terletak kira-kira 30km dari bandar raya ini yang mempunyai banyak anggota masyarakat Cina-Hakka, Bidayuh dan Muslim, yang juga merupakan kampung halaman Jamilah.

Isteri ketua menteri tersebut memberitahu kira-kira 2,500 hadirin pada majlis itu bahawa beliau belajar bertutur dalam dialek Hakka daripada kawan-kawan dan jirannya ketika muda dahulu.

“Ini adalah sesuatu yang membabitkan semangat perpaduan dan toleransi yang tertanam di lubuk hati saya sejak berpuluh-puluh tahun dahulu lagi dan kita terus memeliharanya demi kesejahteraan bersama,” kata beliau sambil menerima tepukan hadirin.