Bangun ekosistem sokong perusahaan

Bangun ekosistem sokong perusahaan

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) – Malaysia menyarankan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) membangunkan ekosistem yang dapat menyokong penubuhan perusahaan dan menambah baik persekitaran untuk inovasi selain mempermudah pembiayaan bagi syarikat permulaan.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan yang mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC (SMEMM) 2015 yang berlangsung di Iloilo, Filipina, semalam.

Pada mesyuarat itu beliau mengetengahkan inisiatif Malaysia bagi pemodenan dan automasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) termasuk Skim Pinjaman Mudah bagi Automasi dan Pemodenan (SLSAM) yang bertujuan menggalakkan MSME di Malaysia mengguna pakai automasi dan pemodenan dalam perniagaan mereka.

Ahmad berkata Malaysia mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh MSME dalam membawa idea baharu ke pasaran dan memupuk inovasi.

“Kami memuji Filipina yang meletakkan MSME sebagai keutamaannya tahun ini dan kami menyokong penuh ‘Inisiatif Iloilo APEC’ yang melengkapi ‘Pelan Tindakan Boracay’ bagi mempromosi dasar serta persekitaran perniagaan dan peraturan yang kondusif yang memupuk pertumbuhan jangka panjang MSME.

“Kami mengiktiraf pelan pembangunan tempatan dan kluster perusahaan yang banyak menyumbang dalam mempertingkat produktiviti, inovasi dan pertumbuhan inklusif,” katanya dipetik dalam satu kenyataan hari ini.

Pada mesyuarat itu, anggota persidangan bersetuju agar satu portal interaktif dibangunkan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mewujudkan jaringan kerjasama dalam kalangan negara anggota APEC.

MSME merangkumi 97 peratus daripada semua syarikat dan menjana lebih 70 peratus daripada peluang pekerjaan dalam rantau APEC. Ekonomi-ekonomi APEC yang mengambil bahagian dalam SMEMM meliputi lebih 76 peratus daripada perdagangan luar Malaysia dan 54 peratus pelaburan langsung asing.

ARTIKEL YANG SAMA