Bangun PKS berdaya tahan

Bangun PKS berdaya tahan

Oleh Mohamad Asyramisyanie & Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – AsiaInc Forum dengan kerjasama Bank Baiduri dan Brunei Press Sdn Bhd, menganjurkan Forum Pembangunan Perniagaan Tempatan yang berlangsung di Hotel Radisson Brunei, di ibu negara, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Hajah Normah Suria Hayati binti PJDSMDSU Dr Haji Mohd Jamil Al-Sufri.

Forum bertema “Membangunkan PKS yang Berdaya Tahan: Strategi-strategi bagi Transformasi Perniagaan” itu terlebih dahulu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Asia Inc Forum, Dato Timothy Ong sebelum diteruskan ucapan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof.

Tetamu kehormat seterusnya membentangkan ucaptama yang bertajuk “Diversifikasi Ekonomi: Satu Peluang bagi PKS untuk Berkembang” yang antara lain banyak memberikan gambaran akan potensi dan hala tuju serta masa hadapan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini.

Dalam pembentangannya itu, beliau turut menyentuh mengenai peluang Brunei Darussalam di dalam menceburi pasaran Halal Global yang bernilai AS$654 bilion.

Hajah Normah Suria Hayati ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Diversifikasi Ekonomi: Satu Peluang bagi PKS untuk Berkembang’ semasa Forum Pembangunan Perniagaan Tempatan, kelmarin.
Hajah Normah Suria Hayati ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Diversifikasi Ekonomi: Satu Peluang bagi PKS untuk Berkembang’ semasa Forum Pembangunan Perniagaan Tempatan, kelmarin.
Dato Timothy Ong (2 dari kiri), Hajah Normah Suria Hayati (tengah), Pierre Imhof (4 kanan) ketika menghadiri forum berkenaan.
Dato Timothy Ong (2 dari kiri), Hajah Normah Suria Hayati (tengah), Pierre Imhof (4 kanan) ketika menghadiri forum berkenaan.

“Jumlah itu belum merangkumi produk kosmetik dan perubatan serta produk kesihatan,” ujarnya, sambil menambah bahawa Asia mendominasi pasaran halal global diikuti oleh benua Afrika di tempat kedua.

Menurutnya, setelah pengenalan kepada Brunei Halal, penubuhan Koridor Inovasi Bio (BIC) turut menampakkan peluang.

“BIC adalah taman perindustrian yang menghasilkan 100 peratus produk halal daripada makanan sehingga kosmetik dan perubatan serta pemakanan tambahan kesihatan.

“Kini giat dipasarkan di beberapa buah negara antaranya China, United Kingdom, New Zealand, Chile, Mexico bagi Pelaburan FDI,” ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai PKS tempatan, beliau menjelaskan isu utama yang dihadapi di negara ini adalah ketiadaan sebarang agensi atau badan kebangsaan yang bertanggungjawab akan pertumbuhan dan pembangunannya.

“Usaha akan dibuat untuk menubuhkan badan kebangsaan ini dan kini kerajaan memberikan fokus kepada kelancaran berniaga di negara ini melalui kecepatan pendaftaran perniagaan, galakan kepada pelaburan tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan asing untuk melihat kelebihan yang ada pada kita,” jelasnya.

pg08_150812_c

pg08_150812_d

Menurut beliau lagi, penubuhan PENGGERAK tahun lalu telah membuka lembaran baru kepada memastikan proses pendaftaran perniagaan akan lebih murah dan cepat selain juga melihat kepada penubuhan Biro Kredit Brunei Darussalam bagi memberikan informasi berkaitan kredit di negara ini.

“Usaha lain seperti kajian dan pindaan semula akta Syarikat bab 39 dan tahun lalu pengenalan kepada ‘Code Of Corporate Governance’ serta terus menjalankan Arahan Pasaran Keselamatan, 2013 dan peraturan pasaran Keselamatan yang akan melindungi pelabur kecil,” tambahnya lagi.

Forum diteruskan dengan pembentangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DC13 Development Pte Ltd, Datuk David Cheang dengan tajuknya “Bangkit daripada Kegagalan: Satu Kajian Kes dalam Penciptaan Semula dan Transformasi”. Bertindak selaku moderator dalam sidang berkenaan ialah Penerbit dan Editor Majalah Inspire, Shaun Hoon yang diikuti dengan sesi soal jawab.

Menyusuli forum sidang berkenaan adalah forum dan perbincangan terbuka yang antaranya menampilkan beberapa personaliti perusahaan termasuk Pemilik Restoran dan Perkhidmatan Katering Nur-Wanita, Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal; Ketua Pegawai Eksekutif CIC Environmental Sevices Sdn Bhd, Awang Shaiful Arief bin Dato Paduka Haji Abdul Razak; Pengarah Urusan BizAdvize Services Sdn Bhd, Ambrose Nathan; Pengarah Urusan Valor Property Agency, Irene Hii; dan Pengasas Strategik Bersama Co-Creation Group, Malaysia, Dr Peter Ting.

Forum dan perbincangan terbuka bertajuk “Memulakan, Membangunkan dan Mempertahankan Perniagaan: Langkah-Langkah Transformasi Perniagaan” berkenaan dipengerusikan oleh Dato Timothy Ong.