Bangun semula kawasan setinggan Mumbai

Bangun semula kawasan setinggan Mumbai

NEW DELHI, 28 Feb (Bernama) – Syarikat peneraju kejuruteraan dan pembinaan, Ekovest Bhd sedang meninjau kemungkinan melabur dalam projek pembangunan semula kawasan setinggan seluas 80 hektar berhampiran Mumbai – hab kewangan India.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata syarikat itu akan bekerjasama dengan sebuah firma tempatan di bawah Kementerian Kewangan India, IIFCL Projects Ltd, bagi mengemukakan pelan induk projek tersebut.

Ekovest setakat ini tidak memiliki sebarang pengalaman operasi usaha sama selain di Malaysia.

Sehubungan itu, kata Lim, syarikat itu akan memanfaatkan pengalaman dan kepakarannya dalam usaha sama sejak 15 tahun lepas serta mendapatkan input syarikat Malaysia yang sudah bertapak di India sebelum membuat keputusan akhir.

“Apabila anda membincangkan usaha pembangunan semula kawasan setinggan seumpamanya, perkara utama yang berbangkit adalah isu penempatan semula penduduk kawasan itu.

Salah satu kawasan setinggan di Mumbai. – Reuters
Salah satu kawasan setinggan di Mumbai. – Reuters

“Saya dapat jangkakan beberapa isu undang-undang mungkin dibangkitkan dan berharap rakan kita di sini akan membantu,” katanya kepada Bernama, di sini.

Menurut Lim, pengalaman tambahan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengendalikan negeri Maharashtra yang mana ibu kotanya adalah Mumbai dan Kerajaan Pusat India, juga dapat membantu Ekovest.

Selain projek Mumbai, Ekovest juga menimbang kemungkinan terbabit dalam pembinaan lebuh raya bertingkat sejauh 70 kilometer di Bengaluru, ibu kota negeri Karnataka di selatan India.

“Kita ada pengalaman dalam pembinaan serta pengurusan lebuh raya terutama projek Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di Malaysia,” katanya.

Antara projek utama lain yang berjaya disiapkan Ekovest adalah Taman Kewangan Labuan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Batu Pahat, Johor.

Lim adalah antara 11 orang yang menyertai delegasi Malaysia diketuai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Sariah Abdul Karib yang sebelum ini mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Maharashtra dan Karnataka.

Ketika di New Delhi, delegasi itu turut mengunjungi Menteri Pengangkutan Jalan Raya dan Lebuh Raya India, Nithin Gadkari.

ARTIKEL YANG SAMA