Bangunan baru Pasar Malam Gadong siap akhir Disember

Bangunan baru Pasar Malam Gadong siap akhir Disember

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang-Di Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menitahkan secara khusus bagi pembinaan bangunan baru untuk dijadikan Pasar Malam Gadong.

Menurut kenyataan Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM), pembinaan bangunan pasar malam itu merupakan inisiatif KDYMM untuk meningkatkan suasana perniagaan yang lebih kondusif, mesra serta selesa kepada para peniaga mahupun pengunjung seperti bangunan kekal Tamu Kianggeh.

Badan Penyelarasan dan Pengurusan Pasar Malam Gadong telah dibentuk dengan anggotanya terdiri daripada para pegawai Pejabat KDYMM, agensi-agensi kerajaan dan beberapa sektor swasta bagi melaksanakan pembinaan bangunan tetap untuk menempatkan para penjaja berdaftar yang beroperasi di Pasar Malam Gadong yang ada sekarang.

Gambar serahan Pejabat KDYMM menunjukkan lakaran artis untuk bangunan baru Pasar Malam Gadong yang dilengkapi infrastruktur moden.
Gambar serahan Pejabat KDYMM menunjukkan lakaran artis untuk bangunan baru Pasar Malam Gadong yang dilengkapi infrastruktur moden.

Bangunan baru Pasar Malam Gadong terletak antara tempat letak kereta dan berhampiran pasar Gadong berdekatan khemah-khemah sementara Pasar Malam Gadong yang sedia ada.

Bangunan itu nanti akan dilengkapi infrastruktur moden yang teratur dengan kawasan seluas 5,979 meter persegi. Bangunan baru ini juga bakal dilengkapi dengan sebuah surau, ruang letak kereta, bilik rehat awam dan pejabat pengurusan. Tempat duduk bagi orang ramai juga ditempatkan di kawasan sama. Projek pembinaan ini dijangka siap pada akhir Disember 2016. Sementara projek sedang dijalankan, orang ramai diminta supaya berhati-hati dan bersabar dalam memastikan projek yang dijalankan siap mengikut perancangan.

ARTIKEL YANG SAMA