Bangunan baru Pos Kawalan Kastam Sungai Tujoh dibuka esok

Bangunan baru Pos Kawalan Kastam Sungai Tujoh dibuka esok

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Nov – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa Bangunan Pos Kawalan Kastam Sungai Tujoh yang baru akan mula beroperasi esok (14 November 2015) di sebelah petang.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, operasi hanya akan melibatkan laluan masuk ke Negara Brunei Darussalam, manakala laluan keluar ke negara jiran masih menggunakan pos kawalan yang sedia ada.

Pos kawalan kastam baru ini dilengkapi dengan ruang pejabat bagi pegawai-pegawai kastam dan agensi kerajaan lain, bilik ibadat termasuk bangunan khusus bagi pemeriksaan rapi serta mesin x-ray untuk kenderaan dan bagasi.

Empat lorong bagi kenderaan biasa dan empat lorong bagi kenderaan komersial termasuk bas penumpang telah disediakan dalam hasrat untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan efisien kepada orang ramai.

Para pengguna dinasihatkan untuk mematuhi arahan dan papan tanda yang disediakan bagi membantu melancarkan lagi pemeriksaan oleh JKED.

ARTIKEL YANG SAMA