Bangunan baru RM2 juta siap sekitar 5 minggu

Bangunan baru RM2 juta siap sekitar 5 minggu

SIMUNJAN, Sarawak, 31 Jan – Sekolah Kebangsaan Sungai Ladong, kira-kira 100km dari bandar raya Kuching, akan mendapat satu bangunan baharu yang siap dibina dalam masa hanya sekitar lima minggu dengan menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS).

Hadiah istimewa buat sekolah itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat tinjauan mesra di sekitar kawasan berkenaan di hari kedua lawatan kerja ke Sarawak, pagi ini.

Beliau berkata bangunan bernilai kira-kira RM2 juta itu nanti akan dilengkapi enam bilik darjah serta dua kuarters guru.

Menurutnya, selain itu sebuah makmal sains juga akan dibina berhampiran tapak sedia ada.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat sekolah berkenaan, Perdana Menteri berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha gigih kerajaan membawa pembangunan ke Sarawak, terutama buat sekolah-sekolah di luar bandar yang sangat memerlukan bangunan-bangunan baharu. – Bernama